suria

Kenali Dan Hayati Keunikan Bonsai

JIKA disebut pokok bonsai, penulis pasti ramai yang akan terbayangkan keunikan pokok yang digubah cantik sebagai hiasan di rumah atau penyeri persekitaran taman.

Namun tidak semua pembaca tahu bagaimana pokok bonsai ini dihasilkan dan berapa lama masa yang diambil serta risiko yang dihadapi untuk menghasilkan bonsai yang berkualiti.

Penulis berkesempatan berkunjung ke salah satu tempat penghasilan bonsai daripada pokok kesinai untuk dijadikan hiasan atau di Kampung Bukit Cabang, Padang Besar, Perlis yang terletak di pertengahan laluan dari Kangar ke Padang Besar.

Ketika sampai di taman tersebut, penulis disambut oleh pengusaha bonsai tersebut iaitu Yahya Hamid, 64.

Beliau merupakan bekas kontraktor kelas ‘F’ dan mula meminati bidang lanskap serta pereka pokok bonsai setelah meninggalkan kerjaya itu.

"Saya pada mulanya hanya membuat dan merawat pokok bonsai kerana minat sahaja," katanya memulakan bicara.

Apabila pokok bonsai yang dihasilkan oleh Yahya (gambar) mendapat  perhatian dan pujian daripada keluarga dan jiran, maka terdetik di hati untuk memberikan lebih perhatian serta dijadikan sebagai sumber pendapatan.

Pada permulaannya dia sendiri yang meredah hutan untuk mencari pokok-pokok kesinai yang cantik serta bercabang untuk dijadikan bonsai.

"Pokok kesinai sebenarnya berdaun agak besar seperti pokok teh pagar atau teh kampung, cuma bezanya pokok kesinai mempunyai cabang yang besar dan boleh dibentuk," tambahnya.

Pokok kesinai yang dijaga dan dibentuk dengan pemerhatian yang teliti serta sering dipotong dan digunting daun lama-kelamaan daunnya akan menjadi kecil  seperti yang diinginkan agar ianya kelihatan lebih unik dan cantik.

Pokok yang baru disemai Yahya.

Di atas sebidang tanah seluas dua ekar, Yahya menguasahakan perusahaan bonsai itu sejak 10 tahun lalu.

Jika dulu dia sendiri yang meredah hutan untuk mencari pokok sinai tetapi kini terdapat pihak luar yang akan menjual kepadanya.

Pokok yang telah dibeli tidak boleh dikembalikan dan segala  risiko adalah dibawah tanggungan  sendiri, malah tidak semua pokok itu mampu bertahan.

"Ada pokok yang saya beli dengan harga RM2,000 tetapi selepas sebulan pokok itu mati dan inilah risiko yang terpaksa diambil," ujarnya.

Bonsai bernilai yang telah mati.

Malahan ada juga pokok yang subur dan cantik tiba-tiba layu dan mati kerana terlebih baja atau terkena penyakit seperti dimakan anai-anai dan ulat namun perkara seperti ini jarang berlaku kerana penjagaan yang rapi serta air yang cukup boleh mengelakkannya.

Yahya memberitahu, terdapat dua kaedah penghasilan bonsai daipada kesinai untuk  menjadikannya berbentuk bola atau berbentuk keping.

Bentuk keping dikatakan lebih sukar untuk dihasilkan kerana perlukan penjagaan serta ketelitian yang lebih malah menelan masa sehingga dua tahun.

Selepas bertahun berusaha dan menimba ilmu daripada pengalaman, kini perusahaan bonsai Yahya sudah mendapat nama selain turut memperolehi tempahan hingga keseluruh negara selain jabatan kerajaan.

Penulis sebenarnya cukup tertarik dengan keunikan bonsai kerana ia mendamaikan hati apabila berada di tengah-tengah landskapnya.

Tidak hairanlah mengapa ramai  yang sanggup menghabiskan masa di taman bonsai semata mata untuk merawat dan meneliti setiap ranting dan daun pokok bonsai mereka kerana dengan pemerhatian yang begitu akan membuatkan mereka mendapat ketenangan tersendiri.

Pengalaman penulis berada hampir 3 jam di taman itu telah memberikan terlalu banyak pengalaman berharga dan betapa susahnya untuk menghasilkan sepohon bonsai.

Di taman bonsai Yahya, setiap pokok dijual serendah RM10 sehinggalah mencecah belasan ribu ringgit dan benarlah seperti kata pepatah 'hanya jauhari yang mengenal manikam'.

Bagi pembaca yang berminat mendapatkan bonsai unik ini atau mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi Yahya Hamid ditalian 0194285639.

Bonsai, Kangar, Kesinai

Artikel Berikut

Artikel Lain