suria

PM Perlu Isi Ruang Dialog Nasional Untuk Realisasikan Transformasi

Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

TUAH menyebelahi Datuk Seri Najib Tun Razak sejak beberapa bulan yang lalu. Beliau menang selesa dalam Pilihan Raya Umum walaupun banyak orang menjangkakan keputusan tidak akan begitu menyebelahi beliau.

Setelah itu, pasukannya pula mencapai kejayaan dalam pemilihan parti tanpa perlu berdepan dengan kesukaran yang besar kecuali barangkali ketika dihadapkan dengan cabaran yang baik yang dikemukakan oleh Datuk Paduka Mukhriz Mahathir.

Walaupun gagal memenangi kerusi naib presiden, prestasi Mukhriz yang mantap menunjukkan bahawa Najib membiarkan Umno bergerak secara kurang “terpimpin” berbanding dulu.

Ini sesuatu yang baik untuk demokrasi umumnya. Pengisytiharan oleh Mukhriz bahawa beliau akan terus menyokong parti serta sikap tenang yang ditunjukkannya dalam berdepan dengan kekalahan menunjukkan bahawa Umno akan menjadi sebuah parti yang lebih dinamik dan matang di masa depan.

Bagaimanapun, semua orang di dalam negara dan di rantau ini menanti untuk melihat transformasi yang akan ditempuh Malaysia dengan adanya mandat baru untuk Najib.

Apakah perubahan yang akan terhasil? Sejak Najib memegang jawatan PM empat tahun lalu, keadaan agak mencabar dan kucar-kacir. Keluaran Dalam Negeri Kasar meningkat dengan agak baik, iaitu pada kadar purata tahunan sebanyak 5.5% sejak tahun 2008 dan berdasarkan kenyataan positif Bank Negara dan Bank Dunia, Najib mungkin mampu mengekalkan kadar ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Kadar pelaburan langsung asing mungkin tidak akan setinggi kadar yang dicatatkan di tahun 1990an, namun Najib sedang bekerja keras untuk menarik masuk lebih banyak pelabur asing yang bermutu ke dalam negara.

Bagaimanapun, kerajaan beliau juga bergelut dengan beberapa perkara negatif, antaranya peningkatan kadar jenayah, perdebatan tentang pro dan kontra penahanan yang bersifat pencegahan, kontroversi kalimah “Allah”, kemarahan Melayu Umno terhadap kaum Cina yang menyokong pembangkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13, serta kebangkitan kumpulan ahli politik lantang yang cenderung kepada pandangan autoritarian dan ekstrem dalam soal tadbir-urus negara.

Bagaimana dengan transformasi? Ruang ini terlalu kecil untuk membincangkan rancangan Perdana Menteri yang meliputi banyak bidang.

Namun, ada satu perkara yang pasti, iaitu perubahan yang positif tidak akan berlaku melainkan Perdana Menteri sanggup mendorong warga negara ini ke arah perbincangan yang wajar dan sihat tentang isu-isu penting yang sedang kita hadapi. Hari ini, ruang perbincangan awam telah dirampas oleh para pentaksub dan pihak yang gilakan perhatian. Puak pengacau ini cuba mengalih perhatian kita ke arah isu-isu yang remeh, karut dan adakalanya berbahaya.

Sebagai contoh, serangan berterusan akhbar-akhbar Umno terhadap kaum Cina tidak masuk akal dan meminggirkan banyak warga negara ini.

Ruang untuk wacana dan perbincangan sepatutnya dibuka untuk membincangkan isu-isu hakiki, misalnya bagaimana pelaburan oleh pelabur China – iaitu dari negara China dan juga pelabur dalam negeri yang boleh dianggap sebagai jaringan penting dengan pelabur luar – boleh dimaksimakan untuk manfaat setiap orang.

Amat perlu untuk kita sekarang mengisi ruang perbincangan nasional dengan isu-isu yang penting. Kita perlu membentuk muafakat dalam menangani permasalahan bersama. Ini adalah kunci bagi rancangan transformasi.

Apakah isu-isu nasional itu? Soal keselamatan dan kesejahteraan orang awam adalah isu paling penting bagi setiap orang. Isu tentang cara-cara mengukuhkan Polis Diraja Malaysia dan peningkatan dana untuk pengawasan jenayah serta operasi perisikan adalah antara beberapa isu penting yang sepatutnya mendapat perhatian utama.

Pasukan polis di seluruh dunia bersandarkan kepada piawaian antarabangsa dalam menangani penjenayah yang memiliki senjata api. Jadi, dalam soal ini undang-undang saja tidak menyelesaikan jenayah.

Ertinya, yang juga diperlukan adalah pengawasan yang baik, manakala pasukan polis yang bagus pula memerlukan belanjawan dan latihan yang memadai.

Isu besar yang lain adalah masa depan ekonomi negara ini. Defisit yang berpanjangan adalah petanda buruk bagi ekonomi. Malaysia perlu meningkatkan pendapatan dan perkara ini memaksa kita untuk mengambil langkah drastik, misalnya dengan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan.

Pada masa yang sama, kerajaan harus ingat bahawa rakyat sedang berdepan kesukaran akibat harga barangan dan perkhidmatan yang tinggi. Perbincangan di peringkat nasional perlu dibuat untuk meneliti cara-cara yang boleh diambil untuk mengurangkan pembaziran dalam proses pemerolehan kerajaan dan pengurusan kementerian.

Tidak wajar untuk kita meningkatkan beban rakyat dalam keadaan kecuaian dan kelemahan pentadbiran kerajaan terus dibiarkan tanpa ditangani.

Bagaimana pula dengan pendidikan? Pembentukan pelan induk pendidikan sememangnya sesuatu yang baik. Namun, masalah pendidikan di negara ini menuntut perhatian semua pihak. Masih banyak sekolah yang tidak mempunyai peralatan moden dan guru terlatih.

Kita akui bahawa sistem pendidikan negara ini perlu diperbaiki. Kita memiliki sekolah yang mampu memuatkan 3,000 orang pelajar tetapi yang mengisinya hanya 500 orang. Kita mempunyai sekolah pintar, tetapi tanpa sebarang peralatan pintar.

Perdana Menteri perlu cuba mengisi ruang dialog nasional dengan menetapkan isu-isu penting yang perlu ditanggapi.

Panduan ini perlu diberikan kepada rakyat Malaysia kerana mereka cenderung untuk melencongkan perhatian kepada hal-hal kurang penting.

Jika perkara ini tidak dilakukan, pihak yang melantik diri mereka sebagai “pengawal” negara ini akan mengisi ruang perbincangan dengan tuntutan-tuntutan yang karut dan khutbah kosong. Perkara ini tidak harus dibiarkan kerana ia akan memburukkan hubungan antara kelompok dalam masyarakat di negara kita.

Agenda nasional perlu dinyatakan dalam ungkapan yang tegas. Dasar-dasar perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.

Saya berdoa agar kita mempunyai waktu yang cukup untuk mencapai semua itu.

> Pandangan yang diungkapkan di sini sepenuhnya milik penulis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut