suria

Saya Cuma Seorang Peminjam (Bah Ke-2)

Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Tan Sri Shahril Shamsuddin.

“ANDA adalah billionaire pertama saya pernah saya wawancara...” Tan Sri Shahril Shamsuddin ketawa mendengar komen penulis ketika beliau sedang menanggalkan jaket untuk membolehkan juru kamera kami memasang mikrofon ke baju beliau.

“Saya? Saya cuma peminjam,” balas beliau secara bersahaja sambil mengambil tempat untuk memulakan wawancara.

Komen beliau itu memberi isyarat bahawa penulis tidak perlu terlalu menjaga protokol ketika berdepan dengannya.

Secara umum, ada dua jenis majikan – yang satu memerlukan anda selalu menjaga nada percakapan, yang satu lagi membenarkan anda bersikap mesra. Agak jelas bahawa Shahril tergolong dalam jenis yang kedua.

Menurut Shahril, beliau bangun sebelum matahari terbit setiap pagi untuk berjoging. Sebelum saya sempat menaruh sangkaan bahawa beliau seorang yang amat berdisiplin dan bermotivasi dalam bersenam, Shahril menjelaskan, “Sebab insomnia. Saya pinjam terlalu banyak wang sampai susah untuk tidur!”

Melihat beliau tidak kisah untuk bercakap tentang wang, penulis pun lalu bertanya, memandangkan beliau kini menghasilkan lebih banyak wang, apakah ia menjadi lebih penting atau tidak lagi begitu penting bagi beliau.

Setelah berfikir seketika, Shahril menyatakan beliau tidak melihat wang dari sudut itu. “Memadai selagi ada cukup wang untuk makan, menyara keluarga, dan berkongsi dengan orang lain.”

Penulis boleh memahami apa yang disebut oleh Shahril, tapi perlu diingat ada perbezaan besar antara bank akaun kedua-dua kami.

Kebanyakan kita pernah berangan-angan tentang perkara-perkara yang akan kita lakukan jika wang tidak menjadi halangan. Kita lalu berusaha untuk menghasilkan wang yang cukup bagi tujuan itu.

Bagaimanapun, bagi golongan yang benar-benar kaya, soal tujuan tidak lagi begitu berbangkit.

Shahril mengangguk-angguk seolah-olah memberitahu penulis bahawa wang bukan pendorong utama beliau, tetapi beliau kemudian berhenti mengangguk, mungkin kerana sedar bahawa beliau belum menjawab pertanyaan penulis.

“Apa soalan tadi? Mujur benda ini boleh diputar-balik,” seloroh beliau, sambil menunjuk ke arah kamera.

Shahril ketawa bersama-sama kru wawancara dan setelah itu mula bercakap tentang 11,000 kakitangan syarikatnya. Baginya, mereka adalah tanggungjawab yang perlu dipegangnya.

“Setelah anda berjaya mencari seseorang sebagai pengganti yang boleh menguruskan syarikat yang telah anda bangunkan, barulah anda benar-benar bebas.”

“Kalau anda bebas daripada semua tanggungjawab sekarang, apa yang akan anda lakukan?” soal penulis.

“Belayar dan belajar menunggang kuda,” jawab beliau. Kata-katanya membuatkan kita mula merasa lebih yakin bahawa billionaire sebenarnya tidaklah begitu jauh berbeza dengan orang kebanyakan.

Penulis kemudiannya membangkitkan tentang tuah. Shahril cepat-cepat menjawab, “Saya rasa semakin kuat anda bekerja, semakin anda bertuah.”

“Kerja keras membawa tuah kerana lebih banyak peluang akan muncul,” jelas beliau sambil menambah, “ketika itu kita mampu dan bersedia untuk memanfaatkan tuah kita.”

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa sukar untuk meyakinkan orang lain untuk keluar daripada zon selesa mereka.

Menurut beliau, seorang pemimpin perlu memahamkan orang bawahan untuk tidak takut silap, kerana kejayaan boleh dicapai setelah melakukan banyak kesilapan.

Bagi beliau kesilapan bukan sesuatu yang menyakitkan dan beliau sering berdebat dengan enam orang anaknya tentang rancangan masa depan mereka.

Shahril suka bercakap tentang anak-anaknya. Beliau menjelaskan kepada saya bidang pengajian kesemua mereka.

“Anda tidak kisah mereka memutuskan sendiri apa yang hendak mereka lakukan?” “Sudah tentu tidak,” ujar beliau.

“Anda perlu tahu bahawa manusia secara semulajadi tidak akan memusnahkan diri sendiri. Setiap orang akan cuba untuk hidup. Keinginan mereka untuk hidup yang akan menentukan tindakan dan cara mereka untuk berjaya.”

Bukan setiap hari penulis berpeluang mendengar seseorang memperkatakan tentang kehidupan dari sudut pandang sedemikian. Bagi penulis, dan penulis memberitahu beliau, pandangannya amat merangsang.

“Apa perkara yang anda ingin anak-anak anda ketahui” tanya penulis. “Bahawa peluang diberikan untuk setiap orang di dunia ini untuk mereka melakukan apa yang ingin mereka lakukan, untuk menjalani kehidupan sebaik-baiknya dan menjadi manusia yang berguna untuk orang lain dan setiap orang yang mereka temui.”

Jelas bahawa kehadiran Shahril selalu merangsang daya hidup. Ia sesuatu yang menggirangkan.

Artikel Lain