suria

Belia Harus Patuhi Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Ramai yang bangga menyaksikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara yang baharu April lalu.

Antaranya ialah pemangku Datuk Paduka Maharajalela Azuan Effendy Zairakithnaini, anggota exco Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi penggal 2006-2010.

Beliau membuktikan bahawa seorang yang masih muda mampu menjalankan amanah serta tanggungjawab besar dengan penuh cemerlang dalam memastikan majlis pertabalan itu berjalan lancar.

Semasa istiadat pertabalan, Datuk Paduka Maharaja Lela mengetuai keberangkatan masuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Beliau juga bertanggungjawab mengetuai kemasukan alat-alat kebesaran Diraja termasuk lambang kebesaran kerajaan Malaysia iaitu tongkat perak Cogan Alam dan Cogan Agama.

Selain bertanggungjawab mengetuai laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali sebaik Seri Paduka melafazkan ikrar pertabalan, Azuan Effendy sebagai Datuk Paduka Maharaja Lela turut menyembahkan alat kebesaran negara utama iaitu Keris Kerajaan atau Keris Panjang Diraja kepada Seri Paduka.

Undang-Undang

Pertabalan Tuanku Abdul Halim bagi kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ini juga menyaksikan bahawa beberapa undang-undang yang sebelum ini diguna pakai akan melalui perubahan sama ada dipinda, dibatalkan atau ditukarkan.

Sebagaimana dinyatakan perdana menteri, kerajaan melalui pertimbangan yang adil serta keyakinan terhadap kematangan rakyat, sudah membatalkan tiga proklamasi darurat.

Contoh undang-undang yang dipinda untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa, terutama anak-anak muda atau golongan belia ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi menggalakkan mahasiswa bergerak dengan lebih dinamik dan progresif.

Penggubalan Akta Perhimpunan Aman umpamanya membolehkan rakyat berhimpun dan menyuarakan pandangan mereka dalam keadaan yang teratur dan aman, seperti jugalah langkah berani kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Setuju

MBM yang mewakili hampir 40 badan gabungan belia memandang langkah kerajaan ini sebagai suatu yang positif terutama untuk golongan muda atau golongan belia. Para anggotaM melihat transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terutama yang membabitkan dasar keselamatan negara bukanlah suatu langkah bersifat popular demi mencari pengaruh politik.

Pemansuhan ISA sebagai contoh, bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk dilaksanakan. Akta ini yang banyak berjasa lebih daripada separuh abad sebenarnya amat diperlukan demi kesejahteraan negara.

Sejak 60-an iaitu seawal akta ISA diperkenalkan, ia berjaya membawa negara keluar daripada ancaman pemberontakan komunis, ancaman pelampau kaum dan keganasan.

Walaupun terdapat banyak pihak mengkritik akta ini atas dasar kebebasan dan hak asasi manusia, namun terbukti berjaya menjadi mekanisme berkesan untuk menjaga keselamatan rakyat.

Sebagai bukti, sebelum dimansuhkan pun hanya 35 orang yang masih ditahan di bawah ISA dengan pecahan kesalahan atau kes seperti Jemaah Islam (5), Pemalsuan Dokumen (2) dan Pemerdagangan Manusia (28).

Malah, kerajaan Amerika Syarikat yang sebelum ini mengkritik keras Malaysia kerana mengguna pakai ISA yang disifatkan ketinggalan zaman akhirnya mengiktiraf pendekatan Malaysia dalam menangani ancaman negara.

Selepas peristiwa pengeboman menara World Trade Centre di New York pada 2001, kerajaan Amerika memperkenal USA Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002 yang mirip kepada ISA.

Negara Aman

Ternyata di Malaysia hingga kini rakyat terutama belia boleh menikmati teh tarik sambil menonton perlawanan bola sepak hingga larut malam kerana dilindungi di bawah undang-undang.

Juga rakyat Malaysia mempunyai rakan yang bertugas sebagai anggota polis, yang dipertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Di kala banyak negara tetangga mengalami pelbagai ancaman keselamatan seperti pergaduhan kaum, konflik agama, pembunuhan dan sabotaj, rakyat Malaysia bebas dan aman.

Tiada rakyat Malaysia yang terpaksa menghantar anak belajar di luar negara kerana bimbangkan keselamatan mereka di negara sendiri.

Malaysia sebenarnya menjadi tumpuan warga asing melanjutkan pengajian kerana sesetengahnya tidak lagi berasa selamat di negara mereka.

Dalam dunia politik, memang terlalu ramai mampu menabur janji untuk melaksanakan perubahan, namun amat sedikit mampu melaksanakannya.

MBM dan anggotanya menyaksikan janji kerajaan masa kini bukan bersifat polemik atau retorik.

Malah dalam tempoh tiga tahun, perdana menteri berusaha membuktikan bahawa transformasi sosio-ekonomi-politik benar-benar dikotakan.

Istilah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) kini menjadi sebutan yang disebatikan di bawah gagasan 1Malaysia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain