suria

Muzium Kapal Selam Meriahkan Industri Pelancongan Melaka

MELAKA: Industri pelancongan di Melaka semakin bertambah meriah dengan penyerahan Kapal Selam SMD Ouessant kepada Muzium Maritim, di Dataran 1Malaysia, Klebang baru-baru ini.

Penyerahan kapal selam ini bukan sahaja mencipta sejarah kepada Muzium Maritim, malah membantu kerajaan negeri menambah produk pelancongan baru yang mempunyai warisan sejarah tidak ternilai.

Majlis penyerahan itu dilakukan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam.

Kapal selam Kelas Agosta 70 ini dibina oleh Arsenal de Cherbourg pada tahun 1978 dan berkhidmat dalam Tentera Laut Perancis sehingga ditamatkan tauliahnya pada tahun 2001.

Perolehan kapal selam itu adalah sebahagian daripada kontrak pembelian dua kapal selam Scorpene dari Perancis oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Destinasi Pelancongan

Ahmad Zahid berkata, umum mengetahui dan mengiktiraf Melaka sebagai destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi sesuai dengan motto yang diperkenalkan iaitu Melawat Melaka Bersejarah bererti Melawat Malaysia.

Mungkin bagi sesetengah orang tidak dapat melihat kebaikan kapal selam ini dan hanya menganggap ia sebagai besi buruk yang tidak berguna.

"Namun sehingga kini beribu pelancong tempatan dan luar negara datang ke situ untuk melihat sendiri bentuk kapal selam sebenar yang selama ini hanya dapat dilihat melalui media cetak dan elektronik," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kapal itu di Kompleks Pelancongan Klebang, di sini.

Menurut Ahmad Zahid, SMD Ouessant digunakan untuk dijadikan platform latihan bawah permukaan air bagi krew pelatih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari 2005 hingga 2009.

Latihan

Di bawah "Project Ouessant Malaysia", seramai 156 krew pelatih TLDM terlibat dalam latihan menggunakan SMD Ouessant, yang berakhir secara rasmi pada 11 Julai, 2009.

Ini adalah misi latihan terakhir buat SMD Ouessant. Projek membaikpulih SMD Ouessant bermula secara rasmi pada 30 Oktober, 2003 sebelum siap sepenuhnya pada 20 Oktober, 2005 dan memulakan misi latihan di laut bagi melatih kesemua krew kelas Perdana Menteri mulai 21 November, 2005 sehingga selesai pada 9 Julai 2009.

Kapal selam Kelas Agosta 70 dibina pada tahun 1978. Ia mempunyai ukuran 67.57 meter panjang, 11.75 meter tinggi dan 6.5 meter lebar.

Ahmad Zahid berkata, kerja-kerja membawa pulang kapal selam SMD Ouessant Agosta 70 ini dari pangkalannya di Brest, Perancis dimulakan pada 7 Oktober, 2011 dan tiba di perairan Melaka pada 12 November tahun lepas.

"SMD Ouessant mempunyai sejarah tersendiri melatih anak tempatan sehingga berjaya mengendalikan kapal selam," jelas beliau.

Sejarah

Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pertahanan merasakan SMD Ouessant adalah sebahagian daripada sejarah ketenteraan yang perlu didokumentasikan menjadi bukti sejarah tanahair yang tidak sepatutnya dilupakan begitu sahaja.

Sebagai negeri bersejarah dan diiktiraf pula UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia, Melaka adalah negeri yang paling sesuai dan layak untuk menerima serta menjaga SMD Ouessant.

"Saya berkeyakinan bahawa SMD Ouessant akan menjadi ikon baru kepada Melaka dan menjadi monumen yang wajib dilawati setiap pelancong bila berkunjung ke Melaka. "Saya difahamkan sehingga hari ini Melaka memiliki 24 muzium di bawah pengurusan Perbadanan Muzium Melaka termasuk Muzium Maritim ini adalah muzium yang terbaru," katanya.

Ahmad Zahid berkata, perkembangan ini amat baik sekali dan diharapkan dengan melawat Muzium Maritim ini, dapat menimbulkan minat di kalangan anak muda khususnya untuk menceburi bidang ketenteraan sekaligus membantu Melaka meningkatkan industri pelancongan.

Kapal selam ini bukan sahaja mempunyai nilai sejarah, malah mempunyai nilai perdagangan antarabangsa di samping menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat industri pelancongan di negara ini.

Beliau berharap kerajaan negeri akan memuliharanya dengan baik kerana ia amat tinggi nilainya daripada perspektif sejarah, keilmuan dan perdagangan. Kementerian Pertahanan khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk sama-sama memajukan lagi Muzium Maritim ini.

Penghargaan Kepada Melaka

Mohd Ali ketika berucap pada majlis penyerahan itu berkata, sumbangan kapal selam itu merupakan satu penghormatan Kerajaan Persekutuan yang secara tidak langsung mengiktiraf Melaka sebagai negeri pelancongan yang terkenal di Malaysia.

Menurut beliau, Muzium Maritim, yang pertama seumpamanya di negara ini, didirikan bukan sahaja untuk tujuan pameran artifak sejarah laut malahan untuk dijadikan pusat pendidikan dan penyelidikan mengenai maritim.

"Fokus utama muzium kapal selam SMD Ouessant ini ialah mengenai sejarah kapal selam dan perkembangannya di negara kita. "Turut dipamerkan ialah model kapal selam, diorama, audio visual, lukisan, peta lama, model kapal dan artifak termasuk pakaian pelatih," katanya. Sememangnya Melaka adalah destinasi pelancongan terbaik untuk segenap lapisan masyarakat sama ada dari dalam dan luar negara kerana negeri berkenaan mempunyai pelbagai produk pelancongan terbaik dan unik seperti River Cruise, Duck Tour, Menara Taming Sari, Monorel, Zoo Melaka, Taman Buaya, Taman Mini Malaysia dan Wildlife Theatre. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain