suria

'KUIH MUSIM BAH', LARIS KETIKA HUJAN

KOTA BARU: Kebelakangan ini, hujan turun mencurah-curah, ada kalanya lebat dan ada kalanya renyai-renyai di bandar ini. Dalam suasana ramai pejalan kaki membawa payung berwarna-warni lalu lalang di tepi jalan utama, seorang wanita berbaju kurung dan menyarung but merah meneriak kepada mereka yang lalu lalang, "tiga seringgit".

Biarpun hujan semakin lebat, wanita itu kelihatan tidak menang tangan apabila semakin ramai pula yang singgah di gerai kecilnya yang mulai digenangi air.

"Macam inilah bila hujan, makin ramai, 'kuih musim bah' ini memang sedap makan masa hujan, makin lebat makin sedap," katanya kepada Bernama sambil ligat membungkus kuih untuk pelanggan.

KUIH MUSIM BAH

Kuih yang dimaksudkannya ialah Putu Halba, kuih istimewa yang mungkin hanya muncul pada musim hujan, antara bulan November dan Disember.

Diperbuat daripada ubi kayu yang kini tidak lagi menjadi pilihan utama sajian zaman moden, keenakan putu halba masih boleh mengundang kecur liur bagi sesetengah individu terutama ketika musim tengkujuh.

"Saya pun baru kali kedua makan kuih putu halba ni, pertama kali mencuba masa musim bah (banjir) tahun lepas, masa itu tengok ramai yang beratur di sebuah gerai kecil, jadi saya pun turut singgah...rupanya mereka beli putu halba.

"Bila dicuba, sedap pula rasanya, jadi setiap musim tengkujuh saya memang tak lepas peluang beli putu halba ni, sebab itu saya panggil 'kuih musim bah'," kata Norhafizah Haris, 27.

Putu halba yang baru dimasak dan masih panas memang sedap dimakan ketika hujan kerana selepas sejuk, ia mula melekit dan terasa agak pahit, tentunya tidak lagi merangsang selera.

MENGAPA HANYA DI MUSIM TENGKUJUH?

Tapi kenapa kuih ini hanya muncul pada musim tengkujuh? Jawapannya ialah pada bekalan ubi. Lazimnya pada musim tengkujuh, ramai yang akan mula menuai ubi kayu yang ditanam bagi mengelakkannya rosak kerana digenangi air.

Justeru keadaan itu akan menyebabkan berlakunya lambakan ubi kayu sehingga timbul idea untuk mempelbagai kegunaan ubi kayu dengan membuat kuih putu halba.

"Biasanya ubi kayu direbus atau dibakar, kemudian dimakan bersama kelapa parut dicampur gula dan sedikit garam. Ada juga yang suka makan ubi kayu bersama ikan tamban kering.

"Tetapi biasanya hanya orang tua-tua yang suka makan ubi kayu sebegitu, sebab itulah dipelbagaikan kegunaan ubi kayu ini dengan membuat kuih putu halba...rasanya lebih sedap dan budak-budak pun suka," kata seorang peniaga putu halba, Halimah Mohamad, 52.

Halimah yang menjual putu halba di gerainya ketika musim tengkujuh berkata sudah menjadi kelaziman beliau membuat dan menjual putu halba untuk pendapatan sampingan.

"Biasanya makcik berniaga pisang goreng tetapi bila musim hujan, makcik akan tambahlah putu halba sekali. Jadi selain pisang goreng, ada jual putu halba...memang sejak dari dulu dah terbiasa tengok arwah emak makcik pun jual putu halba...resipi turun temurunlah ni," katanya.

TIDAK SUSAH DIBUAT

Halimah berkata proses membuat putu halba sememangnya unik. Tidak seperti kuih lain, putu halba diperbuat daripada hampas ubi kayu yang dicampur manisan kelapa dan sedikit biji halba.

Ramuan membuat putu halba mudah didapati iaitu ubi parut yang dikeringkan dan dikukus dengan menggaul bersama halba, berintikan gula Melaka dan kemudian disalut pula dengan kelapa parut di luarnya. Cuba rasa, kepanasan dan kemanisannya yang bersahaja, memang enak.

"Dulu, putu halba dimasak dengan menggunakan wap yang keluar daripada tin biskut setelah tin itu dipanaskan pada bahagian bawahnya. Acuan putu ditutup dengan tudung kendi dan tuala nipis "good morning".

"Tapi itu dulu, sekarang tempat masak putu diganti dengan bekas keluli tahan karat dan di atasnya ada beberapa lubang dan acuan, lebih mudah dan tak susah, jimat masa dan boleh buat dalam kuantiti yang banyak pada satu-satu masa," katanya.

Halimah berkata sekiranya kuih putu halba tidak mengalami kepupusan, suatu ketika nanti teknologi pembuatan putu pastinya akan berubah dengan menggunakan alat yang lebih moden.

"Tapi yang paling penting biarpun menggunakan teknik moden, rasa putu halba hendaklah tetap sama dengan yang ada pada hari ini. Kadar halba yang sederhana adalah mencukupi dan kalau tidak dimasukkan biji halba tentunya putu yang ada nanti tidak lagi bernama putu halba," katanya tersenyum.

BERI REZEKI TAMBAHAN

Melihat putu halba mampu memberi rezeki tambahan, Atikah Mat Eil, 35, turut mengambil peluang membuka gerai menjual kuih itu tahun ini.

Hampir dua minggu membuka perniagaan, bermula awal November ini, Atikah berkata beliau mampu mengumpul wang untuk menggantikan pendapatan daripada hasil mengambil upah melukis batik yang tidak dapat dilakukan pada musim tengkujuh.

"Kalau bulan-bulan biasa, saya akan ambil upah lukis batik...dapatlah membantu suami menyara keluarga.

"Tetapi bila masuk musim hujan, memang saya mati akal sebab tak dapat lukis batik dan tak ada duit...sebab itulah saya cuba buka gerai jual putu halba terutama bila tengok jiran-jiran pun ramai yang cuba buka setiap tahun. Alhamdulillah setakat ini jualan amat memberangsangkan," katanya.

Ibu beranak lima itu berkata biarpun menghadapi persaingan kerana banyak gerai putu halba dibuka bagaikan cendawan tumbuh, beliau tidak kisah kerana menganggap rezeki itu pasti ada untuknya.

Katanya sebagaimana kuih moden lain, putu halba dijual tiga keping seringgit dan kadangkala beliau tidak lokek menghadiahkan lebih kuih itu kepada pelanggan yang banyak membeli.

Atikah turut mengakui jualan putu halba akan meningkat apabila hujan turun, renyai-reanyai atau lebat.

SEMAKIN PUPUS?

"Setahu saya, putu halba hanya ada di Kelantan..itu pun hanya di musim tengkujuh. Walaupun sedap, malah dikatakan raja segala putu, kuih ini sudah semakin pupus, tahun ini saya tengok tak banyak gerai macam dulu," kata Syed Daris Syed Amar, 29.

Anak jati Kuala Lumpur tetapi berada di kampung halamannya di Wakaf Bharu, Tumpat ketika ini, berkata kuih putu halba ada keenakannya tersendiri dan perlu dikekalkan pembuatannya yang unik itu, iaitu ketika musim tengkujuh.

"Biasanya putu halba masih dibuat orang di kawasan Wakaf Baharu menuju ke Kampung Laut dekat Pantai Cahaya Bulan. Di tempat lain saya jarang nampak, kalau makin pupus, sayanglah, anak-anak kita tak dapat lihat keistimewaan musim tengkujuh yang bukan sekadar orang main air tetapi berebut membeli kuih putu halba," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain