suria

PERLU UBAH RUTIN HIDUP JIKA MAHU BAHAGIA?

KUALA LUMPUR: Benarkah majoriti rakyat Malaysia tidak gembira? Adakah ini bermakna mereka tidak pandai mencari keseronokan hingga meningkatkan jumlah kelompok yang bosan menempuh kehidupan mereka?

Menurut hasil kajian dalam talian (online) yang dijalankan sebuah laman web tempatan, YouthSays ke atas 2,000 indidvidu, 99.3 peratus daripada mereka bersetuju bahawa hidup ini mesti menggembirakan.

Bagaimanapun hanya 22.9 peratus benar-benar bersetuju hidup mereka penuh keseronokan. Empat puluh lapan peratus menganggap hidup mereka biasa sahaja manakala 30 peratus lagi menyatakan hidup mereka amat membosankan.

Bayangkan jika inilah yang berlaku ke atas 28 juta rakyat Malaysia. Bagaimanakah keadaan dan produktiviti hidup mereka jika situasi ini berterusan? Untuk golongan lebih dewasa yang stabil dan mempunyai keluarga yang bahagia, ia mungkin dapat diatasi.

Tetapi, apa pula akan terjadi ke atas kelompok yang masih muda, bertenaga dan memiliki keupayaan untuk melakukan lebih dari sepatutnya jika gaya hidup mereka tidak berubah?

Hakikatnya, kebanyakan rakyat Malaysia terutama golongan muda dan remaja menjalani hidup mereka dengan sesuatu yang rutin. Akhirnya menjadi satu tabiat yang membawa kepada situasi yag membosankan serta tidak menggembirakan.

Bagi yang terperangkap dalam situasi itu, mereka lebih mudah menyalahkan pihak lain sebagai penyebab kepada hidup yang membosankan.

Kajian itu turut menyenaraikan beberapa faktor yang menyebabkan keadaan tidak gembira. Sebanyak 57 peratus berpendapat mereka tidak berpuas hati dengan pensyarah/bos, 29 peratus tidak berpuas hati dengan ibu bapa, 66 peratus tidak berpuas hati dengan kerajaan dan 67 peratus pula berpendapat mereka tidak berpuas hati dengan diri mereka sendiri.

KELUAR DARI RUTIN

Menurut Pengarah Eksekutif dan Pengasas YouthAsia, Joel Neoh awal tahun lalu, pihaknya berpengalaman menganjurkan "Youth'10 Malaysia's Youth Festival" yang disertai 88,366 golongan muda Malaysia.

"Dalam festival itu, kami melihat penyertaan yang sangat akif daripada golongan muda negara ini yang teruja dan bersemangat mencuba pelbagai perkara baru," jelasnya.

Neoh berkata, kejayaan menarik ramai golongan muda menyertai festival itu telah mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan dan CEO syarikat-syarikat yang terbabit dalam festival berkenaan.

Mereka mencadangkan penganjur mencari satu platform yang bersifat kekal sebagai alternatif untuk rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang menyeronokkan.

Tertarik dengan cadangan itu, pihaknya memikirkan satu cara yang dapat membantu rakyat Malaysia keluar daripada aktiviti rutin mereka.

Percaya kepada kuasa masyarakat dan sebagai menyahut cabaran itu, pada September tahun ini, YouthAsia melancarkan laman web tempatan yang dinamakan GroupsMore.

Fokusnya ialah untuk memberi inspirasi dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia pelbagai peringkat usia hidup gembira dan memaksimumkan potensi hidup mereka.

Kumpulan ini cuba memikirkan keperluan anak-anak muda hari ini yang perlu terus diberi bimbingan dan pimpinan, ruang dan peluang untuk menjana minat dan kreativiti mereka.

Ia juga bertujuan mendorong mereka menjalani gaya hidup yang positif. Bagi Neoh, keseronokan dalam hidup tidak terbatas pada waktu-waktu tertentu.

"Dalam kaji selidik yang sama, 98.7 peratus percaya perasaan gembira hadir apabila kita mencuba sesuatu yang baru, selain perasaan yang sama dapat dirasai ketika musim perayaan, lamaran perkahwinan dan sambutan hari lahir", jelasnya.

Neoh berpendapat, keadaan itu tidak harus dihadkan memandangkan terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dirancang dan dilakukan terutama untuk mengubah rutin yang dilalui setiap hari.

LEBIH RAMAI LEBIH JIMAT

GroupsMore sebenarnya adalah singkatan daripada Groups Save More. Sesuai dengan namanya, laman web itu mengenal pasti pelbagai aktiviti yang terdapat di sekitar Lembah Klang mengikut minat individu berdasarkan gaya hidup mereka.

Antaranya ialah aktiviti luncur ais, memanah, taman tema, sukan ekstrem, spa, restoran, melancong, kemahiran baru dan pelbagai aktiviti di lokasi menarik untuk disertai pada setiap minggu.

Berkonsepkan belian secara online dengan harga diskaun sehingga 90 peratus, laman web ini turut menghubungkan peserta dengan rakan-rakan baru yang mempunyai minat yang sama. Malah, GroupsMore telah pun mengadakan beberapa aktiviti bersama anggotanya bagi merapatkan hubungan mereka.

GroupsMore juga mungkin boleh diterima sebagai laman web untuk pengguna kerana turut memastikan hak pengguna terpelihara. Lebih ramai penyertaan lebih tinggi diskaun yang diberi.

Caranya cukup mudah, pengguna hanya perlu mendaftar ke laman web GroupsMore.com dan melihat sendiri aktiviti yang ditawarkan. Kongsikan maklumat bersama rakan-rakan dan GroupsMore akan menghantar kupon tawaran diskaun untuk dicetak dan ditebus sewaktu berkunjung ke lokasi yang dipilih.

LUASKAN RANGKAIAN KENALAN

Sungguhpun baru beroperasi untuk kemudahan ahli dari sekitar Lembah Klang sahaja, GroupsMore bercadang meluaskan lagi rangkaian kenalan dan penyertaan peniaga dari seluruh Malaysia sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan.

Terkini, 5,237 individu menyertai GroupsMore untuk mencuba lebih 1,300 aktiviti baru dengan diskaun yang menarik untuk dicuba pada setiap minggu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain