suria

Ikon Fesyen Malaysia Zang Toi Diberi Penghormatan Di New York

NEW YORK: Ikon fesyen tersohor Malaysia, Zang Toi menerima penghormatan unik pada Sabtu malam daripada Persatuan Cina Amerika (OCA) dalam acara gilang-gemilang di Westchester, berhampiran Manhattan di sini.

Mereka yang berpengaruh dalam masyarakat Cina di kawasan pantai timur turuthadir pada acara malam itu dan memuji rekaan cantik dan kreatif anak kelahiran Kelantan itu yang ternyata memberi impak kuat terhadap dunia fesyen Amerika dan menempatkan beliau di kalangan pereka yang dihormati di negara ini.

OCA, yang merupakan persatuan utama kaum Cina yang menetap di Amerika Syarikat dan meraikan ulang tahunnya yang ke-30, saban tahun memberi anugerah kepada mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, kesenian, fesyen dan sebagainya.

Zang Toi menerima Anugerah Pencapaian Dinamik untuk kecemerlangan beliau dalam bidang fesyen.

Majlis itu turut dihadiri Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu Datuk Hamidon Ali dan wakil presiden Barack Obama.

Zang Toi, pemilik House of Toi, yang terletak di 57th Street di tengah-tengah kesibukan kota New York serta berhadapan Fifth Avenue yang dikelilingi kedai elegan dipenuhi fesyen pereka terkenal, barangan kemas, hiasan dalaman dan sebagainya, lahir pada 1961 sebagai anak ketujuh dalam keluarga seorang peniaga kedai runcit.

Kebangkitan beliau yang berlatarbelakangkan kehidupan sederhana kepada seorang pereka tersohor umpama sebuah cerita dongeng dalam kisah si miskin menjadi putera raja.

Beliau tiba di New York ketika berusia 20 tahun dan belajar di Parsons School of Design sebelum menjadi perantis Mary Jade Marcasiano dan Ronaldus Sharnask.

Namun, yakin dengan kebolehannya, Zang Toi yang masih muda ketika itu, nekad memulakan perniagaannya dengan label sendiri, maka lahirlah House of Toi pada 1989.

Selepas merangkul Anugerah Pereka Muda Kadet Mouton tahun 1990, beliau membuka sebuah kedai khusus untuk gaun di Malaysia pada 1996, selain melebarkan perniagaan menerusi kafe Zang Toi di Kuala Lumpur pada 2004.

Bercakap kepada Bernama, Zang Toi berkata beliau amat tersentuh dengan penghormatan yang diberi kepadanya dan yakin sesiapa sahaja boleh menerimanya menerusi dedikasi, keikhlasan dan kerja keras.

Paling menggembirakan Zang Toi ialah beliau dibenarkan membawa ibunya Foo Chin Chih yang berusia 85 tahun dan saudara perempuannya Toi Mey Mey, dari Kuala Lumpur untuk menyaksikan penghormatan yang diterimanya.

"Saya amat gembira dengan anugerah ini, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ibu dan saudara perempuan saya pada majlis ini," katanya dengan suara yang penuh emosi.

Foo pula berkata beliau berasa "teramat bangga" dengan pencapaian anak lelakinya itu.

Pada acara itu, Zang Toi turut memaparkan klip video koleksi fesyen musim panasnya yang sebelum ini mendapat perhatian masyarakat setempat.

Pujian demi pujian diberi kepada Zang Toi sama ada terhadap pencapaian beliau dalam bidang fesyen atau dalam konteks aktiviti kebajikan yang sering dilakukannya.

Tidak ramai yang mengetahui selain merupakan pereka tersohor, Zang Toi juga sering melakukan kerja-kerja amal dan ini menjadikan beliau disenangi mereka yang mengenalinya, seperti kata seorang pengacara pada majlis itu "sifat dermawan amat dekat di hatinya."

Kata-kata itu menyebabkan semua hadirin pada majlis itu berdiri memberi penghormatan kepada Zang Toi.

"Budak lelaki dari Kelantan", panggilan sebahagian besar tetamu warga Amerika terhadap Zang Toi, menjalin hubungan peribadi dengan pelanggannya yang ternyata menghargai pendekatan sedemikian.

Satu pasangan Amerika yang dijemput ke majlis itu berkata mereka hanya akan membeli pakaian daripada Zang Toi, yang bukan sekadar menjual produknya malah menjalin hubungan persahabatan dengan mereka menerusi gerak-geri yang sentiasa membuatkan pelanggannya ceria.

"Itulah cara untuk berniaga. Kami di Amerika boleh belajar daripadanya," kata seorang lelaki.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa rakyat Malaysia mempersoalkan sebab Zang Toi tidak dilantik oleh Tourism Malaysia sebagai duta budaya negara yang tidak rasmi.

"Dia sememangnya boleh menjadi aset kepada negara. Dengan keupayaan beliau menembusi pelbagai lapisan masyarakat di Amerika, Zang Toi boleh menjadi duta budaya yang cemerlang," kata John Seow yang berasal dari Ipoh, Perak kepada penulis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain