suria

LIMA TERAS STRATEGI KOPERASI UNTUK JAYAKAN DASAR KOPERASI NEGARA 2011-2020

KUALA LUMPUR: Dasar Koperasi Negara 2011-2020, menggariskan lima teras strategik untuk membantu koperasi di negara ini menyumbang lima peratus kepada keluaran dalam negara kasar menjelang 2013 dan 10 peratus menjelang 2020.

"Ia ditumpukan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi anggota koperasi, prihatin terhadap persekitaran dan mewujudkan budaya warga korporat yang bertanggungjawab", kata Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad kepada Bernama baru-baru ini.

LIMA TERAS STRATEGIK

Mengenai lima teras strategik itu beliau berkata ia melibatkan pertama, merangsang penglibatan koperasi dalam sektor ekonomi bernilai tinggi iaitu sektor perkhidmatan khususnya sektor perkhidmatan kewangan yang merupakan nadi kepada gerakan koperasi negara.

Pada masa ini, 64 peratus daripada perolehan gerakan koperasi ialah daripada sektor ini. Usaha ini selaras dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Justeru, sektor ini perlu diperkukuh lagi untuk memastikan perkembangan sektor koperasi yang mantap. Terdapat juga sektor perkhidmatan utama lain yang perlu dikembangkan seiring dengan arus pembangunan negara seperti pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, pertanian dan industri asas tani serta perladangan.

TINGKATKAN KEUPAYAAN KOPERASI DAN SUMBER MANUSIA

Teras strategik kedua ialah memantapkan keupayaan koperasi. Teras ini membantu membolehkan koperasi bersaing di era globalisasi dan liberalisasi. Ke arah itu, koperasi perlu mempunyai elemen pengurusan perniagaan dan tadbir urus yang baik. Teras strategik ketiga ialah mewujud dan meningkatkan keupayaan modal insan koperasi. Anggota koperasi merupakan penentu kejayaan koperasi. Oleh itu, aspek pendidikan penting dalam usaha membina keupayaan modal insan, membangunkan kekuatan intektual, meningkatkan pengetahuan perniagaan serta membentuk sikap positif.

Teras strategik keempat ialah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi. Orang ramai harus sedar mengenai manfaat berkoperasi seperti menjana pendapatan dan kekayaan.

Teras strategik terakhir ialah memperkukuh koperasi melalui seliaan dan penguatkuasaan berkesan dan dengan adanya persekitaran yang kondusif, koperasi boleh berkembang dan berjaya.

Oleh itu, untuk meningkatkan pematuhan perundangan koperasi, tindakan pengesanan awal serta tindakan proaktif merupakan pendekatan baru yang akan dilaksanakan. Ini boleh menjadikan gerakan koperasi lebih berwibawa dan berintegriti.

USAHA UNTUK CAPAI MATLAMAT TERAS

Dalam usaha mencapai teras strategik pertama, koperasi harus menceburi sektor ekonomi bernilai tinggi melalui pakatan strategik, menguasai rantaian nilai industri, jaringan perniagaan tempatan dan luar negara, aplikasi teknologi hijau dan pelaburan dalam bidang baru berteknologi tinggi.

Strategi kedua, memantapkan keupayaan dan kebolehan koperasi melalui peningkatan kecekapan tadbir urus, penggabungan koperasi/aktiviti dan ekonomi berskala besar, jaringan kerjasama, aplikasi teknologi moden dan akses kepada sumber kewangan.

Strategi ketiga ialah untuk mewujudkan dan meningkatkan keupayaan modal insan yang berfikiran kreatif, inovatif dan berbudaya keusahawanan, meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan, menguasai ilmu berkoperasi serta pembelajaran berterusan.

Keempat ialah untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi melalui program promosi terhadap kesedaran berkoperasi, mesra rakyat, mempermudah penubuhan koperasi dan kerjasama yang efektif dengan media.

Strategi kelima ialah memperkukuh koperasi melalui seliaan dan penguatkuasaan berkesan dengan program pencegahan melalui pendidikan koperasi, mengambil tindakan awal, memantau secara sistematik, menyediakan rangka kerja yang kondusif dan mematuhi perundangan koperasi.

PENUNJUK PRESTASI

Di bawah gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, petunjuk prestasi utama adalah penting dalam menentukan kejayaan sesuatu program yang diatur.

Begitu juga dalam DKN, kerajaan menetapkan penunjuk prestasi di dalam setiap teras strategik yang antaranya 70 peratus perolehan koperasi disumbang oleh sektor perkhidmatan, penubuhan empat koperasi yang menjalankan aktiviti perbankan menjelang tahun 2020, 100 produk dan perkhidmatan koperasi mampu bersaing di pasaran terbuka serta 5 peratus koperasi beroperasi secara berskala besar.

Petunjuk prestasi lain ialah mensasarkan 100 peratus anggota lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalam mengikuti kursus wajib, 50 peratus anggota koperasi didedahkan dengan ilmu pengkoperasian, 100 peratus sekolah menengah dan IPTA mempunyai koperasi, 16,000 koperasi didaftarkan dan 90 peratus penyata kewangan tahunan koperasi teraudit.

Koperasi yang melanggar undang-undang tidak harus melebihi 1 peratus daripada jumlah koperasi dan sekurang-kurangya 70 peratus koperasi yang dilaksanakan penarafan akan mencapai tahap tiga bintang ke atas dan 20 koperasi disenaraikan dalam 'ICA Developing 300' dan dua koperasi dalam 'ICA Global 300'.

PELAKSANAAN DASAR UNTUK PASTIKAN KEJAYAAN

Pelaksanaan kelima-lima teras strategik dalam DKN 2011-2020 akan dijalankan secara serentak mengikut tiga fasa iaitu jangka pendek (Januari 2011 hingga Disember 2012); jangka sederhana (Januari 2013 hingga Disember 2015); dan jangka panjang (Januari 2016 hingga Disember 2020).

Pemantauan pelaksanaan program dan aktivitinya akan dijalankan oleh Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan. Jawatankuasa Pelaksanaan pula akan merangka pelan tindakan yang terperinci dan memastikan ia diimplementasi melalui sumber yang ada di SKM, MKM, Angkasa dan koperasi.

Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada SKM, MKM dan Angkasa akan bertanggungjawab untuk melaksanakan program dan aktiviti di bawah DKN 2011-2020 berasaskan lima teras strategik itu.

MENILAI MATLAMAT

Kejayaan DKN 2011-2020, menurut Mangsor, amat memerlukan komitmen daripada semua koperasi dan sokongan masyarakat umum khususnya dari segi pelaksanaan. Bantuan daripada agensi lain juga tidak kurang penting untuk memastikan koperasi berjaya menjadi entiti yang mampu berdiri setaraf dan bersaing dengan sektor swasta dalam pasaran terbuka.

Pemantauan pelaksanaan yang berterusan akan memastikan koperasi berjalan selaras dengan prinsip dan falsafah koperasi seiring dengan perubahan persekitaran yang memaksa koperasi menjadi sebuah entiti perniagaan yang produktif, efisien dan kompetitif serta berupaya menyumbang secara signifikan kepada keluaran dan pembangunan negara, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain