suria

Korea Selatan Kekurangan Tanah Tapi Tidak Kurang Daya Tarikan

"LAND is Life" (Tanah ialah Kehidupan). Papan tanda dengan slogan ini dipasang di merata tempat di Korea Selatan, negara yang tergolong sebagai negara termaju di Asia.

Dengan keluasan 100,032 kilometer persegi dan penduduk berjumlah 45 juta orang, Korea Selatan menghadapi masalah ketidakcukupan tanah bagi melaksanakan kegiatan pertanian dan perindustrian, memandangkan sebahagian besar buminya bergunungganang.

Papan tanda ini menunjukkan peri pentingnya tanah bagi negara itu.

Bagi mengatasi masalah ini, Korea Selatan mengambil pendekatan kreatif dan inovatif dalam memanfaatkan sepenuhnya tanah, termasuk menebus guna laut untuk dijadikan kawasan kediaman, industri dan sebagainya.

Negara itu begitu teliti dalam cara mengatur perancangan dan program untuk memastikan penduduk luar bandarnya menikmati kehidupan yang selesa hasil daripada pendapatan melalui kegiatan pertanian.

Korea Selatan turut menggalakkan rakyatnya memaksimumkan penggunaan kawasan lapang, termasuk di kawasan bandar raya Seoul, dengan menanam pelbagai tanaman untuk keperluan domestik.

Di pinggir pusat bandar raya serba maju ini, pengunjung akan dapat melihat deretan tanaman sayursayuran serta rumah hijau yang menghasilkan beraneka jenis tanaman lain.

Malah, di sepanjang lebuh raya dari pusat bandar raya Seoul ke bandar Itaewon, pengunjung akan dapat melihat deretan rumah hijau dan sawah, yang diusahakan di celah-celah bangunan moden.

Kegiatan pertanian mereka menggunakan teknologi tinggi dan tahap penerimaan golongan petani terhadap penggunaan kaedah pertanian moden adalah menyeluruh, hasil gerak kerja Kementerian Pembangunan Luar Bandarnya.

DESTINASI MENARIK UNTUK PELANCONG

Tanah di Korea Selatan juga dimanfaatkan untuk menarik pelancong ke negara ini.

Landskap buminya yang bergunung-ganang serta begitu indah mata memandang, terutama pada musim bunga dan luruh, menjadi tarikan utama pelancong dari negara anggota Asean, yang kebanyakannya tidak memiliki panaroma berlatar-belakangkan perubahan musim seperti itu.

Oleh itu Korea Selatan amat mengalualukan kunjungan warga Asean ke buminya sebagai suatu cara untuk menarik tukaran wang asing.

Perkara ini dinyatakan oleh seorang pegawai kanan Korea Tourism Organisation kepada sekumpulan petugas media Asean yang melawat negara itu dan berkunjung ke pejabatnya di Seoul baru-baru ini.

Pulau Jeju, misalnya, yang terkenal sebagai antara pulau tercantik di dunia dan menjadi venue persidangan dan seminar bertaraf antarabangsa, sememangnya hebat dipromosi negara itu untuk dikunjungi pelancong.

Pulau peranginan yang terbentuk daripada letusan gunung berapi ini juga terkenal sebagai pulau bulan madu dan diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco.

Bagi pasangan pengantin baru Korea, pulau ini menjadi tempat mereka memadu kasih sebaik selesai upacara perkahwinan di tempat masing-masing.

Selain kaya dengan keindahan alam semula jadi serta laut yang terbentang biru, pulau ini juga menghasilkan pelbagai tanam-tanaman serta buah-buahan, termasuk limaunya yang disukai ramai. Pengunjung yang bersiar-siar di pulau ini pasti terpikat dengan pemandangan ladang limau yang kelihatan seperti kerlipan emas pada musim tertentu.

MAKANAN KOREA

Beliau berkata selain menawarkan destinasi menarik untuk dikunjungi, Korea Selatan juga ingin berkongsi dengan pelawat asing keenakan makanannya yang bukan sahaja mampu memikat selera sesiapa saja, malah baik untuk kesihatan.

Dengan bandar rayanya yang bersih serta dilengkapi pelbagai kemudahan serba canggih dan tahap keselamatan yang tidak membimbangkan pelawat, Korea Selatan memang merupakan destinasi pelancongan yang menarik untuk bersantai dan membeli-belah.

Tanah di sepanjang sungai-sungai utamanya turut diperindah dan dilengkapi dengan taman rekreasi dan kemudahan riadah yang bebas digunakan penduduk bandar dan pelancong. Sejak sekian lama, sutera dan kerongsang menjadi tumpuan utama para pelancong yang berkunjung ke negara yang terkenal kerana semangat patriotik rakyatnya yang begitu tinggi dan mesra dengan pengunjung asing ini.

Korea Selatan juga amat menghargai seni budaya dan warisan peninggalan sejarah penduduknya. Pelancong ke Kota Seoul yang serba moden, pasti terpesona melihat kota dan istana lama Raja Korea yang dipulihara dengan begitu rapi hingga ke hari ini.

Peninggalan sejarah ini merupakan antara daya tarikan utama pelancong ke negara yang terkenal dengan nama jolokan "Land of the Morning Calm' ini.

PELUANG PASARAN

Setiausaha agung Pusat Asean-Korea (AKC) Young Jai Cho yang ditemui rombongan media itu berkata bagi Korea Selatan, selain pelancongan, penduduk negara anggota Asean yang berjumlah 580 juta, menawarkan pasaran yang amat menguntungkan bagi produk keluarannya yang lain seperti barangan elektronik, farmaseutikal dan automotif.

Kekurangan tanah dan sebagai negara yang tidak memiliki kekayaan sumber asli, Korea Selatan banyak bergantung pada eksport keluaran industri untuk menjana pendapatan bagi membiayai kos pembangunan dan memenuhi keperluan hidup penduduknya.

Bagi mengembangkan kegiatan pengeluaran produk masingmasing, syarikat Korea Selatan menempatkan kilang dan loji pengeluaran mereka di negara lain termasuk di negara anggota Asean sebagai suatu cara bagi mengatasi masalah kekurangan tapak kawasan industrinya yang semakin sesak.

Dalam hubungan ini, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di negara berkenaan, syarikat-syarikat Korea Selatan juga memindahkan teknologi kepada negara terbabit dalam bidang tertentu.

Di Malaysia misalnya, syarikat Korea Selatan membuka pelbagai kilang, termasuk yang mempunyai kaitan dengan industri automatif, yang memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

MELANCONG KE NEGARA ASEAN

Di sebalik menerima pelancong, penduduk Korea Selatan sendiri gemar melancong berikutan taraf kehidupan mereka yang tinggi.

Malaysia dan negara Asean lain memang banyak dikunjungi mereka. Bagi warga Korea Selatan, Malaysia juga tidak kurang dengan tempat menarik dan keunikan cara hidup masyarakat majmuknya menarik minat mereka, yang sememangnya menghargai keindahan alam serta kepelbagaian budaya bangsa lain.

Tanah ialah kehidupan kerana kekayaan daripada hasil tanah jugalah yang merapatkan hubungan sesama manusia.

Dalam hal ini, negara anggota Asean yang dianugerahkan tanah yang subur dan terbentang luas, boleh mempelajari daripada Korea Selatan cara lebih berkesan untuk memanfaatkan sepenuhnya tanah bagi meningkatkan taraf hidup penduduk masing-masing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain