suria

Perkhidmatan Bas Lebih Selesa Di Lembah Klang

SISTEM pengangkutan awam di Malaysia, terutamanya perkhidmatan bas, telah lama dibelenggu tanggapan negatif sebagai satu pengangkutan "bermasalah" dan ia diburukkan lagi dengan perkhidmatan kurang cekap para pengendalinya. Namun imej pengangkutan awam negara bakal mengalami perubahan berikutan rancangan kerajaan untuk mentransformasi sistem pengangkutan di Lembah Klang, sebagai satu permulaan.

Dalam satu wawancara dengan Bernama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata kesesakan jalan-jalan raya di bandar raya merupakan punca utama perkhidmatan tidak memuaskan.

"Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan menyediakan tiga perkhidmatan utama yang akan dilancarkan merentasi 12 koridor utama bandar raya menghala ke kawasan perniagaan utama (CBD), dan terutamanya ke Bus Expressway Transit (BET) dan Bus Rapid Transit (BRT) serta memperluaskan sistem lorong bas sedia ada di Lembah Klang," katanya.

Perkhidmatan BET akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini di empat lebuh raya yang kurang digunakan atau empat koridor di Lembah Klang dengan pengguna menikmati masa perjalanan 55 peratus lebih singkat.

Perkhidmatan bas di bawah BET akan melalui pondok tol khusus bagi memastikan perjalanan lancar dan pemberhentian yang terhad di stesenstesen.

Untuk permulaan, BET akan beroperasi mulai Selasa di dua laluan iaitu dari Kota Damansara ke KL Sentral dan Pasar Seni melalui Penchala Link dan dari Bandar Sungai Long ke Pasar Seni melalui Lebuh Raya Grand Saga.

TEMPOH PERJALANAN

Perjalanan dari Kota Damansara ke Pasar Seni dijangka memendekkan tempoh perjalanan daripada dua jam kepada hanya 50 minit manakala tempoh perjalanan dari Bandar Sungai Long dan Pasar Seni, yang pada masa ini mengambil masa kirakira satu setengah jam menjadi 50 minit.

Bas-bas di bawah sistem BET akan beropersi dengan selang masa antara 15 dan 20 minit pada wantu puncak di sebelah pagi dan petang. Dua laluan lain telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan di bawah BET ialah dari Subang Mewah ke Pasar Seni menerusi Lebuh Raya Baru Pantai dan dari Sri Muda ke Pasar Seni menerusi Kesas.

Menteri Pengangkutan itu berkata BRT pula serupa dengan sistem pengangkutan awam bandar yang berjaya dilaksanakan di Curitiba, Brazil dan Bogota, Colombia dan kedua-dua sistem BET dan BRT berupaya mengangkut dua juta penumpang sehari.

Sistem BRT popular dengan perkhidmatan yang pantas berbanding dengan perkhidmatan biasa bas antara bandar di Amerika Utara, Eropah dan Australia.

"Bagi Lembah Klang, sistem BRT akan dilancarkan merentasi tiga koridor utama menghala ke pusat bandar dengan jumlah panjang laluan sejauh 49 km. Koridor berkenaan akan dipisahkan secara fizikal daripada laluan sedia ada dengan penghadang konkrit dan mempunyai stesen khusus untuk mengambil dan menurunkan penumpang," katanya.

PENGURUSAN TRAFIK

Bagi lima lagi koridor, satu laluan khusus bas akan dilaksanakan tanpa pemisahan laluan fizikal tetapi dengan penandaan laluan bagi pengurusan trafik secara fleksibel.

"Sebagai contoh, laluan bas akan hanya digunakan pada wantu puncak di sebelah pagi atau petang dengan cadangan jumlah laluan sepanjang 21 km," kata Ong.

Pelaksanaan BRT dan sistem laluan khusus bas akan menyediakan peningkatan penumpang antara 35,000 hingg 55,000 orang semasa waktu puncak kerana jangkaan tempoh perjalanan yang lebih singkat.

Pada masa ini terdapat 13 pengendali bas di sekitar Lembah Klang, dengan RapidKL memegang jumlah terbesar pasaran sebanyak 50 peratus dengan kira-kira 710 bas beroperasi setiap hari manakala 400 bas baru dijangka memasuki perkhidmatan dalam tempoh dua tahun lagi.

"Bagi mencapai jumlah penumpang bas seramai 100,000 orang semasa waktu puncak (termasuk BET, BRT dan laluan khusus bas), kita memerlukan perkhidmatan basa di laluan sedia ada yang lebih baik, dan wujud keperluan bagi tambahan 850 bas baru, dengan sejumlah 400 bas telah dibeli oleh Rapid KL," katanya.

Kerajaan turut merancang untuk menaik taraf 4,000 hentian bas di Lembah Klang kerana pada masa 40 peratus tiada perhentian berbumbung dan papan tanda yang jelas.

Kerajaan juga merancang untuk "mengeluarkan" kira-kira 700 bas ekspress dari pusat bandar apabila Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan (ITT) siap pada November tahun ini, sekaligus mengurangkan kesesakan trafik di bandar.

Dengan siapnya ITT Gombak pada akhir tahun ini dan kemudian di ITT Sungai Buloh, lebih 2,000 bas ekspress yang ketika ini menyesakkan bandar beralih ke kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain