suria

UniMAP Jalin Kerjasama Dengan Senai High Tech

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melebarkan jalinan kerjasamanya dengan pihak industri apabila menandatangani perjanjian persefahaman dengan Senai High Tech Park Sdn Bhd (SHT) di Johor.

Perjanjian yang dimeterai Sabtu lalu adalah untuk membolehkan universiti kejuruteraan itu menawarkan kepakaran yang dimilikinya, khususnya dalam bidang pembangunan akademik dan penyelidikan.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, ini merupakan kali pertama UniMAP menjalinkan kerjasama dengan sektor industri di wilayah selatan Semenanjung Malaysia kerana sebelum ini tumpuan hanya diberi di kawasan utara.

"Meskipun UniMAP terletak jauh di utara Semenanjung Malaysia, namun pemilihan kami sebagai rakan industri SHT amat kami hargai, apatah lagi dengan usia kami yang baru mencecah lapan tahun penubuhan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dua lagi institusi pengajian tinggi yang turut menjalin kerjasama dengan SHT pada majlis itu ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

"Kami akan menjadi rakan kerjasama yang terbaik terutama dalam menawarkan bantuan dalam aspek penyediaan latihan dan sumber modal insan secara berterusan bagi memenuhi keperluan di Taman Teknologi Senai," katanya.

Kamarudin berkata, perjanjian itu juga membolehkan SHT berkongsi kepakaran teknikal dan kemajuan teknologi dengan UniMAP.

"Tidak ketinggalan, ia juga membolehkan pelajar dan pensyarah UniMAP menjalani latihan praktikal atau lawatan industri di SHT," katanya.

Pada Sabtu lalu, Kamarudin mewakili UniMAP pada majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai, manakala SHT diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Shukri Tajuddin.

Majlis menandatangani memorandum itu diadakan bersempena perasmian bangunan Aero Mall dan pelancaran Bandar Lapangan Terbang Senai yang disempurnakan oleh Perdana Menter, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Selain Perdana Menteri, perjanjian itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd, Datuk Mohd Sidik Shaik Othman.

SHT merupakan anak syarikat milik penuh Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd dan MMC Corporations Bhd yang diberikan mandat untuk membangunkan Taman Teknologi Senai yang membabitkan pelaburan berjumlah RM2.3 bilion.

Antara lainnya, kawasan itu bakal meliputi pembangunan zon perindustrian bebas dan kawasan logistik seluas 375 hektar yang bakal menempatkan pusat pembuatan barangan bermutu tinggi serta berteknologi dalam sektor penerbangan dan pengangkutan.

Selain itu, pembangunan perumahan, perniagaan dan hospitaliti turut diperuntukkan di kawasan seluas 264 hektar yang merangkumi pembinaan hotel, pusat konvensyen dan projek pembangunan itu dijadualkan bermula pada tahun ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain