suria

17 MAHASISWA UTM BERLEPAS KE UK

SKUDAI: Seramai 17 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam (Sabtu)telah berlepas ke United Kingdom (UK)bagi menyertai program pertukaran budaya dan ilmu menerusi UTM Global Outreach Programme.

Mereka akan berada di UK selama seminggu.

Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, aktiviti berkenaan merupakan program antarabangsa yang telah direka untuk membangunkan mahasiswa menjadi siswazah yang sedia diterima di seluruh dunia.

Menurutnya, aktiviti bekenaan adalah sebahagian daripada program pengantarabangsaan universiti bagi memperkenal dan meningkatkan imej UTM di persada antarabangsa.

“Tahun lalu UTM telah menghantar 1,100 mahasiswa keluar negara dan pada tahun ini kita bercadang menghantar 5,000 lagi ke beberapa buah negara yang dikenalpasti.

“UTM akan menghantar lebih ramai mahasiswa ke luar negara bagi menambah pengalaman peribadi, meningkatkan keyakinan diri, berdikari dan memperbaiki kemahiran sosial sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan,” katanya semasa merasmi majlis pelancaran program berkenaan di sini baru-baru ini.

Profesor Zaini berkata, menerusi program berkenaan, mahasiswa dapat memperbaiki kemahiran bahasa, mengenali budaya berbilang bangsa dan komunikasi interpersonal bagi memudahkan mereka berkhidmat di merata dunia.

Peserta program berkenaan terdiri daripada mahasiswa Fakulti Biosains dan Biokejuruteraan (2 orang); Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan (2); Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (5) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (8).

Sementara itu, Pengarah Program Nur Ayuni Shamsul Bahri berkata, tujuan lawatan ialah mendokong misi universiti untuk melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran global.

“Mereka yang terlibat akan diberi pendedahan mengenai suasana pembelajaran dan mewujudkan rangkaian kerjasama dengan universiti, industri dan institusi penyelidikan di sana.

“Antara tempat yang akan dikunjungi ialah kolej dan fakulti kejuruteraan di Universiti Cambridge dan Imperial College serta mengadakan lawatan industri ke syarikat elektronik dan institusi penyelidikan di Cambridge Science Park,” katanya.

Beliau berkata, program tersebut menjadi perintis ke arah kecemerlangan pembangunan sahsiah mahasiswa dan membuka peluang kepada mereka untuk meninjau peluang melanjutkan pengajian, menjalani latihan praktik dan pekerjaan.

Bagi membiayai program, pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti termasuk mengadakan program pengukuhan berpasukan untuk kakitangan Hospital Penawar yang menjadi penyumbang terbesar.

Artikel Berikut

UPM Cipta Mesin Nanas 3 Dalam 1

Artikel Lain