suria

Pelbagai faedah, ada dividen... paling wow pelepasan taksiran cukai, SSPN pelan terbaik simpanan pendidikan

PTPTN memperkenalkan pelan perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi menerusi SSPN. Foto AZMAN GHANI

JANGAN pening memikirkan cara paling mudah untuk membuat pelan simpanan pendidikan untuk anak-anak anda.

Tahukah anda ada skim simpanan pendidikan yang mempunyai keistimewaan paling unik dan tidak boleh didapati daripada mana-mana pelan simpanan lain?

Bukan setakat pelbagai manfaat dan dividen yang ditawarkan, tetapi ibu bapa juga berpeluang untuk menikmati pelepasan taksiran cukai! Wow, menarik tu!

Pelan simpanan patuh syariah itu diperkenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Ibu bapa mengambil inisiatif untuk membuat simpanan dalam SSPN untuk anak-anak. Foto YAP CHEE HONG

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, keistimewaan itu termasuk pelepasan taksiran cukai maksimum hingga RM8,000 bagi simpanan dalam SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Walau bagaimanapun bagi akaun SSPN-i Plus, beliau memberitahu, pendeposit boleh menikmati tambahan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas sumbangan takaful yang dibayar kepada pengendali takaful sebanyak RM7,000, di bawah kategori pelepasan bagi insurans nyawa dan KWSP. 

Oleh itu katanya, jumlah keseluruhan pelepasan taksiran cukai pendapatan dengan akaun SSPN-i Plus adalah RM15,000.

“SSPN-i dan SSPN-i Plus merupakan pelan simpanan pendidikan terbaik yang mana satu-satunya skim simpanan yang menawarkan pelepasan taksiran cukai bagi ibu bapa sebagai pendeposit.

“Ramai ibu bapa yang dah simpan untuk anak-anak mereka sejak beberapa tahun yang lepas, dan telah pun mendapat pelepasan taksiran cukai bagi simpanan bersih tahun berkenaan.

“Oleh itu, untuk mendapatkan pelepasan taksiran cukai bagi tahun 2019, pendeposit perlu membuat simpanan sebelum 31 Disember ini,” katanya dalam satu wawancara, baru-baru ini.

Mastura Mohd Khalid.

Berikut adalah syarat kelayakan bagi mendapat pelepasan taksiran cukai bagi SSPN-i dan SSPN-i Plus yang dikira berdasarkan jumlah simpanan bersih tahun semasa.

1. Ibu bapa dan ibu bapa angkat/ penjaga yang sah dari segi undang-undang yang menyimpan dalam akaun SSPN untuk manfaat anak diberi pelepasan sehingga maksimum RM8,000.00 setahun tertakluk kepada jumlah simpanan bersih tahun semasa.

2. Ibu bapa yang membuat taksiran berasingan dan telah membuka akaun simpanan SSPN berasingan atas anak yang sama diberikan pelepasan sehingga maksimum RM8,000.00 seorang setahun.

3. Ibu bapa yang membuat taksiran bersama dan telah membuka akaun simpanan SSPN berasingan diberi pelepasan sehingga maksimum RM8,000.00 setahun.

SSPN merupakan pelan simpanan terbaik untuk perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Bagaimanapun, tambah Mastura, individu yang menyimpan untuk diri sendiri tidak diberi pelepasan taksiran cukai.

Katanya, rasional di sebalik pemberian pelepasan taksiran cukai itu untuk menggalakkan ibu bapa terus membuat simpanan dari tahun ke tahun.

Selain pelepasan taksiran cukai, jelasnya, ibu bapa yang menyimpan juga akan menikmati dividen yang kompetitif serta perlindungan takaful yang komprehensif.

“Sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal terhadap ibu bapa, anak atau waris akan mendapat perlindungan takaful dari ringgit ke ringgit bagi SSPN-i dan sehingga RM1 juta bagi SSPN-i Plus, tertakluk pada terma dan syarat.

“Ia membuktikan bahawa skim simpanan ini diwujudkan untuk memastikan anak-anak dapat belajar menggunakan simpanan tersebut walau apa jua yang berlaku kepada ibu bapa mereka pada masa akan datang,” ujarnya.

Berikut adalah pengiraan bagi pelepasan taksiran cukai tahun semasa 2019:

1. Simpanan bersih tahun semasa adalah jumlah simpanan yang dibuat dalam tahun semasa dan ditolak dengan jumlah pengeluaran pada tahun yang sama.

2. Contoh pertama, pendeposit mempunyai baki akaun pada tahun sebelumnya sebanyak RM5,500 dan simpanan bersih tahun semasa sebanyak RM500.

Oleh itu, pendeposit layak mendapat insentif pelepasan taksiran cukai untuk tahun taksiran cukai semasa sebanyak RM500 sahaja.

4. Contoh kedua, pendeposit mempunyai baki akaun pada tahun sebelumnya RM4,500. Pada tahun semasa, pendeposit telah membuat simpanan sebanyak RM3,000 dan membuat pengeluaran sebanyak RM1,000.

Jadi, pendeposit layak mendapat insentif pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan bersih bagi tahun taksiran semasa sebanyak RM2,000 (RM3,000 – RM1,000 = RM2,000).

Laman web www.lovesspn.com

Sejak SSPN dilancarkan pada 2004 sehingga 31 Oktober 2019, kata Mastura, sebanyak 4.29 juta akaun dibuka bagi kedua-dua pelan simpanan SSPN-i dan SSPN-i Plus dengan jumlah deposit RM5.17 bilion.

Pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan dalam SSPN mula diberikan sejak tahun taksiran 2007 sebanyak RM3,000 setahun.

Menurut Mastura, jumlah pelepasan taksiran cukai itu dinaikkan kepada RM6,000 pada 2013 dan terkini menerusi Belanjawan 2019, ia dinaikkan lagi kepada RM8,000 setahun.

“Kerajaan memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat jumlah simpanan yang banyak dan pada masa yang sama mendapat pelepasan taksiran cukai.

“Ini adalah salah satu usaha kita menggalakkan ibu bapa untuk menabung secara konsisten. Kita dapat lihat bagi pendeposit yang merupakan pembayar cukai, jumlah simpanan mereka meningkat dari tahun ke tahun,” katanya sambil menegaskan bahawa SSPN merupakan produk simpanan untuk pendidikan, dan bukannya instrumen pelaburan.

Dengan peningkatan itu, beliau percaya ia membuktikan kesedaran rakyat Malaysia terhadap simpanan pendidikan anak-anak semakin baik.

PTPTN menyasarkan jumlah simpanan RM1 bilion dengan 500,000 akaun baharu pada tahun ini.

PTPTN turut menyediakan kiosk bayaran online bagi memudahkan pendeposit SSPN.

Mastura berkata, PTPTN dari semasa ke semasa terus meningkatkan perkhidmatan dan penyampaian mengenai produk SSPN kepada rakyat Malaysia.

“Kita bukan sahaja menggunakan saluran-saluran media massa utama, malahan juga menggunakan saluran media sosial dan melaksanakan pelbagai aktiviti turun padang atau outreach bagi memastikan maklumat tentang SSPN sampai kepada masyarakat.

“Kita juga menyediakan cabutan hadiah berbentuk wang tunai kepada pendeposit-pendeposit SSPN-i dan SSPN-i Plus,” katanya.

Antara kelebihan dan keistimewaan menyimpan di SSPN.

Kali ini PTPTN menyediakan dua kategori hadiah iaitu Cabutan WOW! untuk pendeposit SSPN-i Plus dan Cabutan 15 Tahun untuk pendeposit setia SSPN-i, dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM1.1 juta.

“Saya menyeru kepada semua ibu bapa yang mungkin terlepas untuk membuat pelepasan taksiran cukai bagi tahun-tahun sebelumnya, boleh mulakan simpanan sekarang di SSPN atau buat penambahan  deposit sebelum 31 Disember ini untuk melayakkan mereka menikmati pelepasan taksiran cukai bagi tahun 2019. 

“Ibu bapa boleh membuka akaun atau membuat penambahan deposit secara online di www.lovesspn.com. Jadi tunggu apa lagi, Simpan, Simpan, Simpan, Jaminan Masa Depan!” ujar Mastura.

PTPTN, SSPN, Mastura Mohd Khalid, cukai

Artikel Lain