suria

Pelbagai Saluran Mudahkan Pelanggan Menabung SSP BSN

Laman web BSN di myBSN merupakan antara saluran yang memudahkan orang ramai membuat simpanan di dalam SSP.

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) bukan sekadar menawarkan banyak ganjaran menarik menerusi Sijil Simpanan Premium (SSP) malah menyediakan pelbagai saluran sebagai kemudahan kepada pelanggan membuat tabungan SSP.

Naib Presiden Kanan/ Ketua Perniagaan Runcit dan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah berkata, ia bertujuan untuk memastikan BSN kekal relevan dalam menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai.

“Menerusi pelbagai saluran yang disediakan oleh BSN, kita melihat trend simpanan dalam SSP amat menggalakkan. 

“Kemudahan ini memberi keselesaan dan pilihan yang lebih baik kepada orang ramai dalam membuat simpanan,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Mearia berkata, saluran yang paling banyak mendapat sambutan ialah di kaunter cawangan BSN dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kerana liputannya begitu meluas di seluruh negara. 

“Paling banyak di cawangan kerana orang ramai ke kaunter untuk melakukan pelbagai urusan perbankan dan ia dijadikan peluang menyimpan dalam SSP.

“Kita turut melihat trend saluran dalam ATM semakin meningkat kerana kemudahannya termasuk menerusi perbankan Internet di myBSN yang hanya boleh dibuat di hujung jari di mana-mana pada bila-bila masa,” katanya.

Naib Presiden Kanan/ Ketua Perniagaan Runcit dan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah. 

Beliau menambah, pelbagai saluran yang memudahkan ini menggalakan orang ramai untuk berurusan dengan BSN dan mengakses produk perbankan dengan lebih efisien.

Selain cawangan BSN, ATM dan myBSN, orang ramai juga boleh membuat simpanan menerusi ejen bank berdaftar (EB) BSN dan mesin deposit tunai (CDM).

“BSN mempunyai lebih 6,000 ejen bank berdaftar di seluruh negara yang juga boleh membantu anda membuat simpanan dalam SSP,” ujar Mearia.

Sehubungan itu, Mearia berkata, pelbagai saluran ini akan membantu meningkatkan bilangan pemegang SSP dan jumlah simpanan.

“Kemudahan ini sememangnya menjadi keutamaan kami seiring dengan jaminan jenama BSN iaitu menggapai kehidupan yang lebih baik,” katanya sambil menambah setakat ini, lebih 2.3 juta pemegang SSP dengan jumlah simpanan RM2.8 bilion.

SSP yang diperkenalkan sejak 1978 merupakan produk simpanan unik BSN dan patuh Syariah.

Selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan mingguan, cabutan bulanan, cabutan tempatan, cabutan istimewa dan terbaharu ialah cabutan setiap jam, pelanggan juga akan diberikan kadar keuntungan sehingga 2.42 peratus.

Pelanggan sedia ada dan baharu yang menyimpan minimum RM10 layak untuk menyertai cabutan SSP. Bagaimanapun untuk melayakkan diri bagi cabutan istimewa yang menawarkan hadiah RM1 juta, pelanggan perlu mempunyai simpanan minimum RM3,000.

Mearia Hamzah, BSN, SSP

Artikel Sebelum

Perancangan Masa Depan

Artikel Lain