suria

Wanita lahirkan bayi pada usia 59 tahun, netizen perlekeh dah terlalu tua untuk besarkan anak

Zou bersalin pada 9 Januari lalu.

SEORANG wanita berusia 59 tahun selamat melahirkan seorang bayi lelaki melalui pembedahan pada 9 Januari lalu.

Wanita dari China yang dikenali sebagai Zou itu hamil selepas menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) pada tahun lalu.

Menurut Zou, dia dan suaminya berusaha untuk menambah cahaya mata semula selepas anak perempuan mereka dewasa dan berhijrah ke luar negara.

“Melihat bayi itu dan mendengar tangisannya membuatkan saya sangat teruja,” kata Zou kepada media tempatan.

Sepanjang kehamilan, Zou berdepan beberapa cabaran termasuk tekanan darah tinggi, masalah buah pinggang serta bengkak teruk pada kaki.

Pada usia kandungan 33 minggu dan lima hari, doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan caesarean ke atas wanita itu.

“Dia seorang ibu yang berani kerana sanggup menghadapi cabaran besar ini,” kata pakar obstetrik kanan, Guo Huiping.

Nama hospital itu bagaimanapun tidak didedahkan kepada orang ramai.

Kisah mengenai Zou turut dikongsi di media sosial sehingga ada segelintir netizen meninggalkan komen negatif terhadapnya.

Berdasarkan semakan komen, ada yang berpendapat dia tidak mempunyai tenaga mencukupi untuk membesarkan anak pada usia tersebut. -Agensi.

 

Artikel Lain