Lokasi dipercayai tempat kanak-kanak terbabit ditendang seperti dalam rakaman video tular. -Foto Detik News
SEORANG lelaki ditahan susulan rakaman video mamaparkan perbuatannya menendang kepala dan muka kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, secara bertalu-talu tular di media sosial.Menerusi klip tersebut, kelihatan suspek bertindak kejam terhadap mangsa yang juga anaknya sehingga terjatuh dan menangis kesakitan. Lebih mengejutkan apabila rakaman tersebut dibuat untuk dihantar kepada bekas isterinya sebagai ugutan bagi mendapatkan wang.Kejadian dilaporkan berlaku di Siak, Riau di Indonesia.Berdasarkan laporan, suspek berusia 31 tahun ditahan polis kurang 24 jam selepas video berkenaan tersebar luas.Ketua Polis Siak, AKBP Sepuh Ade Irsyam Siregar berkata, suspek bertindak demikian selepas permintaannya untuk mendapatkan wang daripada bekas isterinya tidak dilayan."Video itu dihantar kepada bekas isterinya kerana suspek marah apabila permintaannya tidak dipenuhi," katanya dalam kenyataan pada SabtuMenurutnya, suspek dan bekas isterinya mempunyai dua orang anak, namun telah bercerai.Anak sulung iaitu mangsa berusia tiga tahun berada bersama suspek manakala anak bongsu berusia dua tahun tinggal bersama ibunya.Tambah beliau, penderaan dipercayai berlaku sekitar pukul 10 pagi 19 Januari lalu di Pasar Baru, Kampung Lubuk Dalam, daerah Lubuk Dalam.Hasil siasatan, polis berjaya menahan suspek di rumah seorang rakannya di daerah Koto Gasib sekitar pukul 1.05 pagi, 20 Januari.Kedua-dua kanak-kanak terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Siak sebelum menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Daerah Siak.Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut undang-undang perlindungan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum. -Agensi