suria

Lelaki cekik, potong lidah kekasih lepas 5 bulan menyulam cinta... Forensik jumpa barang kes pisau dan kain sarung tradisional

Suspek ditahan bersama alatan yang digunakan untuk membunuh mangsa. Gambar kecil dipercayai lidah mangsa. -Foto Thaiger

SEORANG wanita ditemukan maut dipercayai akibat dicekik di dalam sebuah bilik resort di daerah Mueang, Thailand.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga teman lelaki mangsa tampil menyerah diri sebelum ditahan polis.

Menurut polis wilayah Nakhon Si Thammarat, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 9 malam bahawa seorang lelaki mengaku terlibat dalam kes pembunuhan.

Bertindak atas maklumat, suspek dikenali sebagai Bunyarit ditahan di kediamannya berhampiran Pasar Tha Phae sebelum polis bergegas ke lokasi kejadian di sebuah resort di subdaerah Pak Phun.

Hasil pemeriksaan menemukan mayat seorang wanita berusia 49 tahun, dikenali sebagai Noppawan, terbaring di atas katil dengan kesan kecederaan dipercayai akibat dicekik.

Mangsa turut mempunyai kecederaan teruk di bahagian mulut yang dipercayai kesan lidah dipotong.

Menurut keterangan kakitangan resort, pasangan itu mendaftar masuk kira-kira pukul 6.52 petang Jumaat dan menyewa bilik untuk satu malam.

Bagaimanapun sekitar pukul 8 malam, sebuah kenderaan dilihat keluar dari kawasan resort dan disangka pasangan itu hanya keluar sementara.

Dalam pada itu, hasil siasatan di tempat kejadian, pasukan forensik menemukan beberapa barangan dipercayai berkaitan kes termasuk sebilah pisau dan kain sarung tradisional Thailand di lokasi serta dalam kenderaan suspek.

Susulan itu, Mahkamah Wilayah Nakhon Si Thammarat mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek pada Jumaat atas pertuduhan membunuh dengan niat.

Dalam soal siasat, suspek mengaku membunuh mangsa yang dikenalinya sejak kira-kira lima bulan lalu.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut. -Agensi

Artikel Lain

Mia Sara okay saja!