SEORANG wanita berusia 30-an ditemukan meninggal dunia dengan kesan luka baring yang teruk sehingga dipenuhi ulat.
Susulan itu suaminya ditahan kerana disyaki melakukan pengabaian yang mengakibatkan kematian.
Pihak polis berkata suaminya menghubungi talian kecemasan 119 pada kira-kira pukul 8:18 pagi, 17 November lalu dan melaporkan bahawa isterinya berada dalam keadaan 'separuh sedar'.
Kejadian berlaku di kediaman pasangan itu di Paju, wilayah Gyeonggi, Korea.
Apabila unit kecemasan tiba di rumah pasangan itu, mereka mendapati wanita tersebut mengalami luka baring yang teruk pada bahagian bawah badannya serta dipenuhi ulat di seluruh tubuh.
Wanita itu sempat mengalami henti jantung ketika dibawa ke hospital.
Walaupun petugas perubatan berjaya menyelamatkannya, dia meninggal dunia pada keesokan harinya.
Pihak hospital kemudian membuat laporan kepada polis dan suaminya ditahan pada hari sama.
Siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini mengalami masalah kesihatan mental termasuk gangguan panik sejak Ogos dan menghadapi kesukaran untuk bergerak.
Namun, pihak berkuasa berkata suspek tidak membawa isterinya mendapatkan rawatan walaupun keadaannya semakin tenat.
Keluarga mangsa turut memaklumkan kepada polis bahawa lelaki itu menghalang mereka daripada melawat dengan alasan isterinya tidak mahu berjumpa sesiapa.
Semasa disoal siasat, suaminya dilaporkan memberitahu polis bahawa dia tidak menyedari bau busuk itu kerana isterinya banyak menggunakan deodorant dan pewangi, yang menurutnya menyebabkan dia sakit kepala. -Korea Herald


