suria

Bahagia hanya satu malam... Datuk 75 tahun temui ajal sehari selepas nikahi wanita 40 tahun lebih muda

Warga emas berusia 75 tahun dilaporkan meninggal dunia sehari selepas melangsungkan pernikahan. -Foto Indiatvnews

KEGEMBIRAAN sepasang mempelai bertukar duka apabila pengantin lelaki berusia 75 tahun dilaporkan meninggal dunia hanya sehari selepas berkahwin dengan pasangannya yang 40 tahun lebih muda.  

Perkahwinan antara Sangruram, 75, dan pasangannya, Manbhavati, 35, dari Jaunpur, India, pada 30 September lalu mendapat perhatian penduduk setempat kerana perbezaan usia yang ketara antara mereka.

Majlis pernikahan pasangan itu diadakan di pejabat pendaftaran perkahwinan, sebelum diteruskan dengan upacara ringkas di sebuah kuil berdekatan.

Menurut saudara-mara, pasangan itu dikatakan hanya menghabiskan malam pertama mereka dengan berbual dan meluangkan masa mengenali satu sama lain.

Sangruram, yang sudah lama hidup bersendirian, difahamkan mencari teman hidup sebelum membuat keputusan berkahwin.

Namun pada pagi 1 Oktober, keadaan kesihatan lelaki warga emas itu tiba-tiba merosot. 

Dia segera dikejarkan ke hospital, tetapi doktor mengesahkan dia meninggal dunia. 

Punca kematian belum didedahkan setakat ini, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan keluarga dan penduduk kampung. -Agensi

Artikel Lain