suria

Lelaki maut akibat sembelit teruk, lebih 8kg najis tersumbat… Keluarga saman pusat jagaan

Masalah sembelit boleh menjejaskan aktiviti seharian dan wajar diberi perhatian agar tidak berlaku komplikasi lebih serius. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki meninggal dunia secara tragis selepas mengalami sembelit yang teruk, dengan kira-kira lebih 8 kilogram najis tersumbat di dalam ususnya. 

Keadaan itu berlaku selepas dia dipercayai tidak membuang air besar selama hampir sebulan, sehingga akhirnya meragut nyawanya.

Keluarga mendiang James Stewart, 41, dari Ohio, Amerika Syarikat, kini memfailkan saman (wrongful death lawsuit), mendakwa kematian lelaki itu boleh dielakkan sepenuhnya sekiranya pusat jagaan memberi perhatian sewajarnya terhadap keadaan kesihatannya.

Menurut dokumen mahkamah, James yang tinggal di pusat jagaan Clear Skies Ahead di Bazetta Township, telah menunjukkan beberapa tanda jelas sebelum kematiannya pada 15 November 2024, antaranya perut yang semakin kembung serta perubahan tingkah laku yang ketara.

Kertas siasatan juga menyatakan bahawa James tidak membuang air besar selama 'beberapa minggu hingga sebulan', satu tempoh yang disifatkan amat berbahaya.

Lebih membimbangkan, James dilaporkan diberikan ubat tertentu yang menyebabkan komplikasi serius pada sistem penghadamannya.

Keluarganya mendakwa penjaga di pusat jagaan itu mengabaikan rungutan James mengenai sembelitnya, meskipun pekerja didakwa menyedari bahawa dia kelihatan tidak sihat dan bertindak luar kebiasaan sebelum kematiannya. -Agensi

Artikel Lain