suria

Dakwa isteri tolak buat hubungan intim sejak sebulan lalu, lelaki nekad simbah asid

Suami isteri perlu berbincang apa jua masalah untuk mencari solusi. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki berusia 42 tahun ditahan polis selepas disyaki menyimbah asid ke arah isterinya dalam satu kejadian pada bulan lalu.

Suspek mendakwa tindakannya berpunca daripada rasa kecewa apabila isterinya menolak untuk mengadakan hubungan intim, sejak sebulan lalu.

Insiden berlaku di Kampung Watervang, dekat Lubuklinggau, Sumatera Selatan.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang berusia 31 tahun, sedang tidur nyenyak di bilik mereka.

Tanpa amaran, suspek memasuki bilik dan terus menyimbah asid ke arah mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka melecur pada pipi kanan, bibir, belakang leher, bahagian atas dada kanan, serta lengan kanan," kata Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak, Unit Siasatan Jenayah Polis Lubuklinggau, Inspektor Pertama Koperal Maryadi.

Selepas mendapatkan rawatan, mangsa kemudian membuat laporan polis. 

"Bertindak atas laporan tersebut, polis menahan suspek pada Selasa (18 November) dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Lubuklinggau untuk siasatan lanjut," tambahnya.

Dalam keterangan kepada polis, suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut kerana berang dengan isterinya yang enggan melayani kehendaknya.

Mangsa pula dilaporkan mahu memfailkan perceraian kerana suaminya jarang memberi nafkah dan gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Kes berkenaan kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa. -Agensi

Artikel Lain