suria

Kena ‘reject’ empat hospital, wanita maut bersama bayi dalam kandungan... Ajal tiba ketika mahu cuba nasib ke pusat perubatan lain

Irene meninggal dunia bersama bayi dalam kandungan kerana tidak sempat menerima rawatan.

SEORANG wanita hamil dikenali sebagai Irene Sokoy meninggal dunia bersama bayi dalam kandungannya selepas didakwa tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di empat buah hospital berdekatan.

Irene mula mengalami kesakitan teruk pada awal pagi dan dibawa keluarga menaiki bot dari Kampung Kensio menuju Hospital Yowari di Indonesia sekitar pukul 3 pagi untuk mendapatkan bantuan.

Menurut keluarga, Irene kemudian dirujuk ke Hospital Abepura namun mereka mendakwa tidak menerima layanan sewajarnya.

Usaha mendapatkan rawatan diteruskan di Hospital Dian Harapan, tetapi keluarga mendakwa situasi sama turut berlaku.

Percubaan terakhir dilakukan di Hospital Bhayangkara namun mereka dimaklumkan bahawa wad penuh.

Bagaimanapun mereka ditawarkan wad VIP namun keluarga diminta membayar kira-kira 4 juta Rupiah (RM992) sebelum kemasukan, manakala kos pembedahan mencecah 8 juta Rupiah (RM1,984).

Kekangan kewangan menyebabkan keluarga tidak mampu menyediakan jumlah tersebut lebih-lebih dalam keadaan kecemasan.

Irene kemudian dirujuk ke Hospital Dok II Jayapura, namun dia meninggal dunia dalam perjalanan sebelum sempat menerima rawatan bersama bayi dalam kandungannya.

Mayat Irene itu dikebumikan pada Rabu.

Kes ini mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial kerana ia berlaku di kawasan bandar yang mempunyai kemudahan kesihatan lengkap. -Nokenlive

Artikel Lain