suria

Lelaki mengadu gagal buang air besar, rupanya ada cawan seramik tersekat dalam usus!

Hasil imbasan sinar-X menunjukkan imej sebiji cawan berada di dalam bahagian usus lelaki tersebut (kiri), dan cawan yang berjaya dikeluarkan (kanan). -Foto Sin Chew Daily

SEORANG lelaki mendakwa dia secara tidak sengaja memasukkan 'sesuatu' yang besar dalam punggung dan gagal untuk mengeluarkannya, hingga akhirnya terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan.

Lelaki berasal dari Taiwan yang tidak didedahkan identitinya itu mengejutkan kakitangan di Hospital Besar Lee apabila hasil imbasan sinar-X menunjukkan imej sebiji cawan berada di dalam bahagian ususnya.

Pada mulanya, pesakit tersebut hadir ke hospital dan mengadu mengalami kembung perut selama tiga hari dan tidak dapat membuang air besar.

Keadaan itu mendorong doktor melakukan pemeriksaan lanjut, sebelum mereka menemui objek yang mengejutkan tersebut iaitu sebiji cawan seramik.

Selepas doktor menunjukkan imej sinar-X kepadanya, lelaki itu hanya berkata... saya tidak tahu, ia berlaku secara tidak sengaja.

Walaupun doktor cuba mengeluarkan cawan itu melalui prosedur biasa, usaha tersebut tidak berhasil.

Mereka terpaksa melakukan pembedahan yang memakan masa selama dua jam bagi mengeluarkan cawan berukuran 8cm x 6cm melalui bahagian usus lelaki berkenaan. -Agensi

Artikel Lain