suria

Lelaki hilang ingatan akibat kemalangan ketika merantau, akhirnya pulang ke pangkuan keluarga selepas 45 tahun terpisah

Rikhi Ram (kanan) kembali bersatu dengan keluarganya selepas 45 tahun terpisah. -Foto X

SEORANG lelaki yang terpisah daripada keluarganya selama 45 tahun akibat hilang ingatan disebabkan kemalangan, akhirnya pulang ke rumah selepas satu kemalangan baharu memulihkan kembali memorinya.

Kisah bermula pada tahun 1980 ketika Rikhi Ram, penduduk sebuah kampung kecil di daerah Sirmaur, dekat Himachal Pradesh, India, mengambil keputusan untuk merantau dan mencari rezeki.

Dia yang berusia 16 tahun ketika itu meninggalkan kampungnya untuk mencari pekerjaan di Yamunanagar, Haryana. 

Bagaimanapun tanpa disangka, Rikhi terbabit dengan kemalangan jalan raya yang tragis ketika dalam perjalanan ke Ambala bersama seorang rakan sekerja.

Kecederaan di kepala yang dialami menyebabkan Rikhi kehilangan ingatan sepenuhnya. 

Tanpa identiti dan tanpa cara untuk menghubungi keluarga kerana ketika itu tiada telefon atau saluran komunikasi yang mudah, Rikhi terus hidup tanpa mengetahui asal-usulnya. 

Keluarganya pula berusaha mencari tetapi tidak berjaya, dan kedua ibu bapanya meninggal dunia tanpa mengetahui nasib anak mereka.

Beberapa bulan lalu, ditakdirkan Rikhi terlibat dengan satu lagi kemalangan jalan raya.

Ajaibnya, selepas kemalangan tersebut, ingatan Rikhi mulai pulih sedikit demi sedikit, dan dia mula mengingati nama adik-beradik serta kampungnya.

Dia kemudian mendapatkan bantuan seorang pelajar kolej untuk membuat carian dalam talian dan usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil.

Rikhi Ram kini telah berjaya disatukan semula dengan keluarganya.

Kepulangannya disambut dengan tangisan kegembiraan, selepas 45 tahun hilang khabar tanpa jejak. -Agensi 

Artikel Lain