suria

Pemandu lori hidup miskin 60 tahun rupanya pewaris keluarga kaya, tertukar sewaktu lahir

Gambar lama menunjukkan pemandu lori itu ketika masih kecil. - Foto Handout

SEORANG pemandu lori yang hidup dalam kemiskinan selama lebih enam dekad terkejut apabila mengetahui dirinya sebenarnya tertukar dengan bayi lain ketika lahir dan merupakan pewaris kepada sebuah keluarga kaya.

Lelaki berusia 60 tahun itu, yang sepanjang hidupnya bekerja keras sebagai pemandu lori, memfailkan saman terhadap hospital selepas penemuan mengejutkan itu. 

Mahkamah kemudiannya memerintahkan Hospital San-ikukai di daerah Sumida, Tokyo di Jepun membayar pampasan sebanyak 38 juta yen (RM1.2 juta) kerana kesilapan menukar bayi pada 1953.

Kes ini mula diputuskan pada 2013, namun kembali tular di media sosial selepas beberapa kes serupa di China dilaporkan, melibatkan anak-anak yang diculik atau tertukar dan kemudian bertemu semula dengan keluarga sebenar mereka.

Rahsia pertukaran bayi itu terbongkar selepas adik-beradik lelaki dari keluarga kaya berkenaan mula curiga terhadap abang sulung yang wajahnya tidak seiras dengan ahli keluarga lain. 

Mereka juga teringat kata-kata mendiang ibu bahawa pakaian bayi itu pernah bertukar selepas dimandikan oleh jururawat di hospital.

Susulan itu, mereka mengumpul putung rokok abang mereka dan menjalankan ujian DNA pada 2009 yang akhirnya membuktikan lelaki itu bukan saudara kandung mereka.

Siasatan lanjut terhadap rekod lama hospital membawa kepada penemuan sebenar, iaitu bayi yang tertukar itu ialah seorang pemandu lori di Tokyo, yang dilahirkan 13 minit lebih awal daripada bayi yang dibesarkan oleh keluarga kaya tersebut.

Selepas tertukar, bayi berkenaan dibesarkan dalam keluarga miskin dengan bapanya meninggal dunia ketika dia berusia dua tahun, manakala keluarganya hidup tanpa kelengkapan asas seperti peralatan elektrik.

Dia terpaksa bekerja sambilan untuk menampung pelajaran menengah dan sering mendengar jiran serta ibunya sendiri berkata bahawa wajahnya tidak mirip dengan keluarga mereka.

Sebaliknya, bayi yang mengambil tempatnya dalam keluarga sebenar menikmati kehidupan mewah, mendapat pendidikan tinggi dan menjadi ketua syarikat, manakala tiga adiknya turut berjaya sebagai golongan korporat.

Malangnya, ketika kebenaran terbongkar, ibu bapa kandung lelaki itu telah pun meninggal dunia, menyebabkan dia tidak sempat bertemu dengan mereka.-Agensi

Artikel Lain