suria

Tragis... Dua beradik maut disengat ratusan tebuan, doktor kesan lebih 700 sengatan!

Dua beradik maut selepas disengat ratusan tebuan dalam kejadian di Muding, Yunnan. -Foto SCMP

DUA beradik maut selepas diserang ratusan tebuan ketika sedang bermain berhampiran ladang jagung di tempat nenek mereka bekerja.

Mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan adik perempuannya berusia dua tahun, dikatakan sedang berada di bawah jagaan nenek sementara ibu bapa mereka bekerja di wilayah Zhejiang.

Dalam kejadian menyayat hati yang berlaku pada 28 Jun lalu di sebuah kampung di daerah Muding, wilayah Yunnan, China, mangsa dibawa oleh nenek mereka ke ladang jagung.

Tidak lama kemudian, penduduk kampung terdengar jeritan meminta tolong dan segera berlari untuk menghulurkan bantuan, namun mereka turut disengat.

Kedua-dua mangsa segera dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia.

Nenek mereka yang turut cedera akibat sengatan, dimasukkan ke hospital selama seminggu.

Ibu bapa mangsa hanya mengetahui kejadian itu selepas pulang ke kampung keesokan hari. 

"Dua anak saya disengat di seluruh badan, tiada bahagian yang terselamat," kata bapa mangsa yang dikenali sebagai Yang.

Laporan forensik mendedahkan mangsa berusia tujuh tahun mengalami lebih 300 sengatan, manakala adiknya pula lebih 700.

Menurut laporan media tempatan, tebuan tersebut dipelihara oleh seorang petani tempatan, Li, yang kemudian disiasat atas tuduhan membunuh secara cuai.

Dia ditahan selama seminggu sebelum dibebaskan dengan ikat jamin sementara siasatan diteruskan.

Sebagai pampasan, Li membayar 40,000 yuan (RM23,628) kepada keluarga mangsa dan memusnahkan semua tebuan peliharaannya. -Agensi

Artikel Lain