suria

Warga emas sedang tenat maut di luar pintu, bank berkeras minta keluarkan sendiri wang simpanan

Warga emas maut di luar bank selepas diminta keluarkan simpanan sendiri. -Foto SCMP

SEORANG warga emas yang sedang sakit tenat meninggal dunia di luar sebuah bank selepas diarah hadir sendiri untuk mengeluarkan wang.

Mangsa, dikenali sebagai Peng, berusia 62 tahun, dibawa oleh anak perempuan dan menantunya untuk mengeluarkan wang bagi membayar kos rawatan perubatannya.

Peng sudah lama menghidap diabetes dan baru-baru ini dimasukkan ke hospital selepas terjatuh dan patah kaki.

Kejadian dilaporkan berlaku di Zhuzhou, wilayah Hunan, China pada 14 Mei lalu.

Pada awalnya, salah seorang anak perempuan Peng pergi ke bank bersama kad pengenalan dan buku simpanan ibunya. 

Namun, dia gagal menyelesaikan urusan pengeluaran selepas beberapa kali tersalah memasukkan kata laluan.

Walaupun sudah memaklumkan kepada kakitangan bank bahawa ibunya sedang sakit tenat, mereka tetap berkeras meminta Peng hadir sendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Anak perempuan Peng kemudian menghubungi kakaknya, yang datang bersama suami dan membawa Peng dalam keadaan berkerusi roda ke bank.

Walaupun telah berada di bank selama sejam, mereka masih tidak berjaya mengeluarkan wang berjumlah 50,000 yuan (RM45,800) tersebut.

Peng dilaporkan tidak sedarkan diri sepenuhnya, dengan kepalanya terkulai menyebabkan dia gagal memenuhi keperluan pengecaman wajah bank yang memerlukan pergerakan seperti mengangguk dan mengelipkan mata.

Kedua-dua anak perempuan Peng kemudian membawanya keluar untuk mendapatkan udara segar.

Namun malangnya, Peng meninggal dunia di pintu masuk bank tersebut.

Seorang kakitangan bank yang tidak mahu dikenali mendakwa bahawa pihak keluarga tidak memaklumkan keadaan kesihatan Peng.

Apabila Peng dibawa ke bank dan gagal memberikan kerjasama terhadap prosedur, kakitangan bank mencadangkan agar wanita itu dibawa pulang untuk berehat, namun cadangan itu ditolak oleh keluarga.

Pihak polis tempatan memaklumkan bahawa hasil siasatan rasmi akan diumumkan tidak lama lagi.

Pada 16 Mei, anak saudara Peng memaklumkan bahawa keluarganya telah mencapai persetujuan dengan pihak bank untuk menyelesaikan isu tersebut.

Bank bersetuju menanggung kos pengebumian dan memberikan pampasan sebanyak 100,000 yuan (RM91,600).-Agensi

 

Artikel Lain