SEORANG lelaki dituduh menipu lebih 70 individu dengan jumlah kerugian RM19.26 juta untuk membiayai gaya hidup mewah teman wanitanya sejak 2019.
Pun begitu, dia menjalani kehidupan sederhana bersama ibu bapanya.
Menurut pasukan polis, lelaki yang berasal dari Chengdu, China itu ditahan pada Mei kerana memalsukan kontrak, lesen perniagaan dan 'membuka' sebuah syarikat.
Suspek bernama Liu turut didakwa memajak stesen minyak kepada seorang mangsa tanpa mempunyai hak operasi dan mengutip deposit.
Malah dia juga dituduh memegang saham dalam syarikat tenaga tempatan dan stesen minyak bagi tujuan mendapatkan bayaran sewa.
Dalam satu lagi skim yang didakwa, dia dituduh menggunakan perjanjian pemindahan ekuiti palsu untuk menipu dana pelaburan daripada sebuah syarikat petroleum.
Tambah polis, berdasarkan siasatan sejak September 2019, Liu dipercayai menipu lebih 70 individu dengan jumlah 32.7 juta yuan atau dianggarkan RM19.26 juta.
Malah dia turut didakwa melakukan pencucian wang curi dengan membeli sejumlah besar kad hadiah pasar raya dan menjualnya pada harga diskaun melalui orang tengah.
Hasilnya kemudian dimasukkan ke dalam akaun banknya.
Susulan dakwaan yang dibuat ke atasnya, Liu bagaimanapun enggan mengaku meskipun pasukan penyiasat menemui lebih daripada 80 akaun bank yang berkaitan dengannya dan lebih 300,000 transaksi selama bertahun-tahun.
Pihak berkuasa telah membekukan atau merampas asetnya bernilai lebih 25 juta yuan (RM14.7 juta).
Risikan juga mendapati, hampir kesemua hasil yang diperoleh diserahkan kepada teman wanita suspek termasuk membelikannya sebuah kereta sport Porsche dan beberapa vila.
Sebaliknya, dia tidak mempunyai rumah atau kereta dan tinggal bersama ibu bapanya dengan cara sederhana. -Agensi


