KEBIASAANNYA pasangan pengantin memilih menaiki kereta mewah pada hari perkahwinan mereka, namun berbeza dengan sepasang raja sehari ini kerana mahu mengayuh basikal.
Menariknya, pengantin lelaki menjemput isterinya dari rumah mentuanya dan berbasikal lebih 20 minit untuk ke rumah pihak lelaki.
Pasangan tersebut mengadakan majlis perkahwinan mereka pada 13 Mei di Luohe di wilayah Henan, China.
Menurut pengantin perempuan yang dikenali sebagai Xing keputusan itu dibuat berdasarkan minatnya terhadap aktiviti berbasikal serta kekagumannya terhadap cinta sederhana generasi ibu bapanya.
"Saya suka berbasikal, jadi saya ingin memasukkan unsur ini dalam perkahwinan saya agar ia berbeza daripada yang lain," kata Xing.
Basikal yang digunakan oleh suaminya adalah model lama bersaiz besar, yang kini dianggap bergaya retro.
"Basikal gaya tradisional ini bukan sahaja membawa elemen nostalgia, tetapi juga melambangkan cinta yang tulus dan sederhana seperti generasi lama.
"Saya harap kami dapat hidup seperti ibu bapa kami, saling mencintai sepanjang hayat," tambah Xing.
Idea unik itu turut mendapat sokongan daripada kedua-dua belah keluarga yang menganggap ia lebih bermakna daripada menggunakan limosin.
Bagi mencipta suasana perkahwinan ala tahun 1980-an, Xing tidak mengenakan gaun pengantin putih, sebaliknya memakai sut merah terang yang digayakan dengan stokin putih. Gaya rambutnya juga meniru gaya pengantin zaman dahulu.
Malah, pengapit lelaki turut menaiki basikal bersama pengapit perempuan, mengiringi pasangan pengantin dalam suasana meriah. -Agensi


