DUA pelajar universiti hampir terbabit dalam nahas jalan raya selepas kereta yang dinaiki mereka dilontar dengan batu ketika melalui sebuah lebuh raya.
Menurut mangsa berusia 25 tahun yang dipercayai pemandu, pada mulanya dia menyangka batu sebesar penumbuk orang dewasa itu adalah serpihan jalan, namun selepas memeriksa rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ia adalah sebaliknya.
Berdasarkan rakaman, batu itu dilontar seseorang dari arah pembahagi tengah lorong ekspres di bawah Lebuhraya Don Muang, berhampiran tiang bernombor 31, arah keluar ke Ayutthaya-Saraburi di Thailand.
Menurut mangsa sekiranya batu itu terkena cermin hadapan, ia boleh mengakibatkan kemalangan serius atau kematian, berdasarkan kelajuan kenderaan pada ketika itu.
Pihak polis yang menerima laporan berkenaan memaklumkan ia bukan perkara baru dan beberapa individu dipercayai gelandangan dilihat tinggal di kawasan itu dan mungkin terlibat dalam insiden berkenaan.
Polis menjelaskan walaupun ada tindakan pengusiran dilakukan, individu lain pula kembali ke lokasi itu.
Seorang penduduk tempatan berusia 70 tahun turut mengesahkan kekerapan kehadiran individu tidak dikenali di kawasan berkenaan yang dilihat mencari bahan lusuh.
Penduduk mendakwa pihak berkuasa masih belum mengambil tindakan konkrit bagi menangani isu keselamatan ini.
Mangsa menggesa agensi berkaitan segera mengambil langkah pencegahan, termasuk pemasangan pagar atau penghadang bagi mengelak kejadian sama berulang.
Polis kini sedang meneliti rakaman CCTV di lokasi kejadian bagi mengenal pasti suspek, dan memberi jaminan tindakan undang-undang akan diambil. -Agensi


