KERJAYA sebagai pempengaruh tidak kurang cabarannya apabila keselamatan diri seringkali menjadi taruhan.
Istilah 'stalking' dalam industri ini tidak asing lagi apabila ada di antara pengikut bertindak melampau terhadap sosok yang mereka sebut sebagai idola'.
Seorang lelaki warga Britain turut berdepan dua pertuduhan gangguan seksual terhadap pempengaruh percutian Amerika Syarikat, Alexandra Saper.
Menurut Saper, hidupnya terancam sejak dua tahun lalu setelah menyedari dirinya diintip seorang individu tidak dikenali.
"Bermula sebagai pengikut biasa, Rob Keating bertukar obses apabila menghantar foto lucah tanpa henti dan menyatakan hasrat seksualnya kepada saya," menurut Saper.
Dianggap tidak berpijak di bumi yang nyata, suspek turut merancang menculiknya demi merealisasikan adegan drama '50 Shades of Grey' ke dunia nyata.
Jelas Saper, dia juga terasa seolah-olah 'diburu' sehingga terpaksa berpindah ke luar negara kerana bimbang dijejaki suspek.
Suspek juga sanggup menempah tiket sehala ke Bali, Indonesia setelah berhasil menjejaki kediaman baharu Saper.
Sewaktu serbuan, pihak polis menjumpai seutas tali berwarna hitam serta tali leher di dalam bagasinya, antara alat yang lazim digunakan penggemar seks ganas. -Agensi