suria

Scam pasar terapung Thailand! Pelancong terkejut dicaj lebih RM10,000... 10 kali ganda mahal daripada harga asal

Tangkap layar video tular dikongsikan di media sosial.

PERCUTIAN indah seorang lelaki bertukar menjadi pengalaman pahit selepas dia menjadi mangsa penipuan di sebuah pasar terapung di Thailand.

Menurut pelancong dari Brunei itu, dia mengalami kerugian sebanyak 83,460 baht (RM10,932) dalam insiden pada 2 Januari lalu.

Difahamkan, pelancong itu menempah pakej eksklusif bernilai 160 dolar Brunei (sekitar 4,000 baht atau RM523), termasuk menaiki bot persendirian, menunggang gajah dan sesi fotografi bersama harimau.

Namun sebaik sahaja membuat pembayaran menggunakan kad debit, dia terkejut apabila resit menunjukkan caj 10 kali ganda lebih tinggi daripada harga asal.

Pada mulanya peniaga berkenaan enggan mengakui kesilapan, tetapi setelah ditunjukkan bukti resit lalu mereka akhirnya bersetuju untuk memulangkan wang.

Sungguhpun demikian, pelancong itu tetap berdepan kesukaran apabila terpaksa menghubungi pihak bank di Brunei dan Thailand untuk menguruskan transaksi.

Komen penjelasan dibuat pemilik gerai (kiri) dan pelancong (kanan) berkenaan situasi tersebut.

Proses ini mengambil masa sehingga 20 hari sebelum wang dikembalikan sepenuhnya.

Susulan itu seorang individu yang mendakwa sebagai pemilik gerai terbabit kemudian tampil menafikan sebarang niat untuk menipu pelanggan.

Menurutnya, kesilapan berpunca daripada salah faham ketika pelancong itu memasukkan jumlah pembayaran pada alat pembayaran tanpa tunai.

"Biasanya, sepupu saya yang menguruskan kedai, tetapi dia sudah berhenti. Jadi, kami minta ibunya untuk ganti.

"Ibunya tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Pelancong itu sendiri yang menekan butang (jumlah) pada alat transaksi dan kemudian menekan digit 0 sekali lagi," jelasnya.

Sementara itu dalam perkembangan terbaru, pelancong dari Brunei tersebut mengesahkan sudah menerima kembali wangnya selepas menunggu selama 20 hari.

"Untuk pengetahuan semua, saya sudah dapat semula pemulangan wang. Sila lebih berhati-hati dan sentiasa periksa jumlah sebelum membuat pembayaran," pesannya.

Artikel Lain