SEORANG remaja berusia 15 tahun mengalami krisis peralihan identiti jantina daripada perempuan kepada lelaki. Menurut ibu bapa kepada remaja perempuan itu, mereka mahu menjalani pembedahan menukar jantina anaknya dengan segera supaya dia boleh meneruskan kehidupan mengikut identiti biologinya. Kejadian berlaku di Cibungbulang, Kabupaten Bogor di Indonesia. Jelas ibunya yang berusia 42 tahun, kecurigaan mula timbul apabila anaknya masih belum datang bulan sejak sekolah rendah. Pada mulanya, keluarga menganggap perkara itu biasa lebih-lebih lagi kakak kepada remaja berkenaan juga baru mengalami haid kali pertama pada usia 15 tahun. Namun, syak wasangka bertukar menjadi bimbang apabila wanita itu menyedari keadaan fizikal (kemaluan) anaknya ketika sedang mandi. Susulan itu, anaknya dibawa ke pusat kesihatan untuk pemeriksaan lanjut pada 23 Oktober lalu. Menurut doktor, anaknya mempunyai testis (buah zakar) dan mengatakan jantina biologi adalah seorang lelaki. Selepas diagnosis, remaja itu dirujuk ke beberapa hospital untuk ujian hormon dan kromosom. Keputusan ujian mendedahkan bahawa remaja itu memerlukan satu siri prosedur perubatan, termasuk 'pengurangan testis' dan pembaikan saluran kencing. Proses tersebut dijangka mengambil dua hingga tiga peringkat prosedur, melibatkan kos pemeriksaan kromosom mencecah 8.5 juta Rupiah (RM2,359). Menurut ibu remaja itu, proses pembedahan memakan masa sehingga dua bulan menyebabkan pihak keluarga mempertimbangkan untuk memilih kaedah lain. Bagaimanapun, keluarga itu berharap dapat menyelesaikan pembedahan secepat mungkin agar remaja itu boleh menjalani kehidupan lebih selesa selaras dengan identiti biologinya. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube