MALANG tidak berbau! Kegembiraan pasukan bola sepak menyertai kejohanan berakhir tragedi apabila mereka terlibat nahas jalan raya ketika dalam perjalanan pulang di Kampung Moo 10, Subdaerah Tri Trueng, Thailand pada Ahad. Dalam kejadian itu, dua pemain maut, manakala 10 lagi cedera apabila trak pikap yang membawa mereka hilang kawalan dan merempuh tiang elektrik. Kemalangan difahamkan berpunca daripada pemandu trak pikap berkenaan berada dalam keadaan mabuk. Lebih memilukan apabila pemandu tersebut adalah ibu kepada salah seorang pemain yang menawarkan diri untuk membawa pasukan itu pulang ke rumah masing-masing. Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Mark, 16 tahun, dan Boonyarit, 14 tahun. Pemain serta pengguna jalan raya lain yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di hospital dan sudah dibenarkan pulang. Sementara itu, ibu kepada mangsa (Boonyarit) yang dikenali sebagai Duangthip tiba bersama keluarga untuk mengambil mayat anaknya di Hospital Kamphaeng Phet selepas urusan dokumentasi selesai. Duangthip merancang untuk mengadakan upacara pengebumian di sebuah kuil di Subdaerah Wang Sai, daerah Khlong Khlung, manakala keluarga kepada seorang lagi mangsa (Mark) sudah mengambil mayat lebih awal untuk upacara serupa. “Saya tidak dapat menerima kehilangan anak saya. Dia baru beritahu saya yang dia akan menyertai rakan-rakannya untuk bermain bola sepak sebagai penjaga gol simpanan. "Lebih menyakitkan hati apabila pemandu yang menawarkan diri untuk memandu mereka berada dalam keadaan mabuk. Kelalaian sebegini tidak boleh dimaafkan," kata Duangthip. Polis dilaporkan akan mendakwa tertuduh kerana memandu dalam keadaan mabuk yang menyebabkan kecederaan dan kematian. - Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube