suria

Gara-gara cuba seludup 20 iPhone di lapangan terbang, lelaki dipenjara 4 tahun

Lelaki warganegara Thailand ditangkap kerana cuba menyeludup iPhone.

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Begitulah kisahnya apabila seorang lelaki Thailand dijatuhi hukuman penjara empat tahun di Da Nang, Vietnam kerana cuba menyeludup 20 telefon pintar jenama iPhone melepasi pemeriksaan kastam.

Natus Temmaythawittayalert, 23, dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Rakyat Da Nang pada Selasa.

Dia yang merupakan pemilik kedai telefon bimbit di Thailand dikatakan menerima pesanan teks daripada seorang lelaki, Do Rrik pada September 2023.

Do Rrik dikatakan mahu membeli 20 iPhone 15 Pro Max dengan alamat penghantaran di Vietnam.

Tertuduh membelanjakan lebih 1 juta baht (RM130,266) dan bersetuju untuk menjual telefon itu kepada Rrik pada harga 56,000 baht (RM7,295) untuk setiap satu.

Dia kemudian membawa peranti itu secara terus dari Thailand ke Vietnam melalui jalan udara.

Tertuduh memasukkan bungkusan telefon itu ke dalam kotak dan mencampurkannya dengan makanan ringan bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Namun, tindakannya dapat dikesan oleh pihak kastam. - VnExpress International

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain