DETIK cemas dilalui seorang penumpang! Begitulah kisahnya apabila seorang pemandu e-hailing tergamak untuk memerangkap penumpang di dalam kereta sebagai tebusan dan memeras ugut mangsa bagi meminta wang. Kejadian berlaku di Jakarta, Indonesia dan pemandu e-hailing terbabit sudah ditahan. Menurut Ketua Polis Jakarta Barat, Komisioner Besar M Syahduddi, pemandu bernama Michael Gomgom berusia 30 tahun itu mengugut seorang penumpang yang dikenali sebagai Cindy Pangestu. Dia sebelum itu menjemput wanita berkenaan dari sebuah pusat beli-belah pada 25 Mac lalu. “Motif utama suspek adalah mengugut dan meminta wang kerana terdesak untuk berkahwin dengan teman wanitanya,” kata Syahduddi. Tambah Syahduddi, selepas mengambil mangsa, suspek memandu seperti biasa sebelum bertindak mengubah haluan. Suspek turut memberitahu mangsa bahawa dia mengalami sesak nafas tetapi ia hanyalah satu helah untuk memeras ugut wanita berkenaan. Suspek kemudian meminta wang berjumlah 100 juta rupiah (RM29,637) daripada mangsa dan mengugut untuk mencampaknya ke dalam sungai jika permintaannya tidak dipenuhi. Mangsa kemudian membuka pintu kenderaan ketika kereta sedang bergerak dan meminta pertolongan orang sekeliling. - CNN Indonesia Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube