MALANG tidak berbau! Detik manis sepasang kekasih yang sedang bermesraan di sungai bertukar tragedi apabila mereka tiba-tiba dihanyutkan arus deras di Sungai Sembahe, Deliserdang, Sumatera Utara, Indonesia pada Ahad. Ketika kejadian, pasangan terbabit dilihat sedang berpegangan tangan dan cuba untuk bersua foto (selfie) di kawasan tengah sungai sebelum kedua-duanya hilang keseimbangan lalu tercampak akibat arus air di sungai berkenaan. Jeritan meminta 'tolong' turut kedengaran ketika kejadian dan lelaki terbabit cuba menyelamatkan situasi tersebut dengan memegang teman wanitanya. Kedua-duanya gagal untuk bertahan dan terus hanyut dibawa arus deras ketika kejadian. Namun difahamkan, kedua pasangan berkenaan akhirnya berjaya diselamatkan oleh seorang individu lelaki yang bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mereka. Berbekalkan pelampung dan jaket keselamatan, beberapa lagi individu lain turut menanti di hilir sungai untuk menarik mereka ke kawasan selamat. Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden terbabit dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika bermandi-manda di kawasan sungai. - Inilah Bandung Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube