suria

British Airways benar kru kabin bertudung, lancar pakaian seragam baharu mesra Muslimah

British Airways membenarkan kru kabin untuk memakai tudung dalam pelancaran seragam baharu mereka. -Agensi

PAKAIAN seragam kru kabin penerbangan kerap menjadi topik perbincangan kerana ia ada kalanya menjolok mata.

Dilema pastinya dihadapi oleh wanita yang beragama Islam, tersepit di antara tanggungjawab bidang kerja dan juga tuntuan agama yang perlu dituruti.

Kini perkara itu tidak lagi menjadi menjadi kerunsingan kerana British Airways buat pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun memperkenalkan pakaian seragam baharu dengan menyertakan pilihan tudung dan tunik untuk kru kabin wanita.

Kru kabin British Airways kini boleh memakai tudung ketika bertugas.

Rombakan pakaian seragam syarikat penerbangan itu adalah hasil projek selama lima tahun oleh pereka fesyen Britain, Ozwald Boateng dan sebelum ini ditangguhkan selama dua tahun disebabkan pandemik COVID-19.

Justeru, setiap anggota 30,000 kakitangan barisan hadapan syarikat penerbangan itu akan dilihat dengan pakaian seragam baharu, yang bermula dengan jurutera dan pengendali darat, menjelang musim panas.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif British Airways, Sean Doyle, berkata pakaian seragam mereka adalah representasi ikonik jenama penerbangan itu, yang akan membawa ke masa depan.

"Ia mewakili yang terbaik dari zaman moden Britain dan membantu kami menyampaikan perkhidmatan asli British yang hebat untuk pelanggan kami," katanya.

Beliau berkata, sejak awal penghasilan pakaian seragam itu adalah mengenai jati diri negara.

"Kami mahu mencipta koleksi seragam yang boleh bangga dipakai oleh orang kita dan dengan bantuan lebih 1,500 rakan sekerja, kami yakin bahawa kami sudah menyampaikannya," katanya.

"Apabila menyarung uniform baharu ini, pekerja syarikat penerbangan ini juga akan mengitar semula atau menderma pakaian lama mereka, yang diperbuat daripada kira-kira 90 peratus campuran fabrik poliester kitar semula.

"Lebih 1,500 rakan sekerja di seluruh syarikat penerbangan mengambil bahagian dalam 50 bengkel untuk membantu memastikan kesesuaian pakaian, daripada bengkel reka bentuk kepada maklum balas prototaip dan percubaan pakaian, dan membantu mencipta koleksi ikonik yang akan bertahan dalam mengikut masa," katanya.

Boateng yang mereka cipta pakaian itu dikatakan sangat berhati-hati dalam mencipta koleksi unik berkenaan dan mendapat inspirasi daripada syarikat penerbangan dan kakitangannya sendiri.

Corak gelombang udara yang ada pada jaket, kemeja-T, butang, dan tali leher diilhamkan oleh pergerakan udara di atas sayap pesawat.

Semua pakaian disesuaikan dengan menampilkan fabrik jenis jacquard serta menepati ikon 'speedmarque' ikonik syarikat penerbangan itu.

Artikel Lain