suria

Pelajar universiti mengaku salah rakam video ‘bawah skirt’ wanita dalam tandas, tunggu di luar mahu minta maaf

Tertuduh mengaku bersalah merakam video mangsa ketika berada di dalam tandas dan memohon maaf di atas perbuatan tersebut. Gambar hiasan

SEORANG pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura, berasa kesal ekoran tindakannya merakam video seorang wanita di dalam tandas di kampus berkenaan.

Memetik laporan The Straits Times Singapore, pelajar tersebut, Zhou Zhiwen, bagaimanapun kemudian menunggu di luar tandas untuk meminta maaf kepada wanita berkenaan selepas menyedari perbuatannya, demikian mahkamah diberitahu, hari ini.

Zhou juga dikatakan telah memadam video tersebut pada masa itu namun berasa mahu 'menebus' perbuatannya.

Pelajar tersebut, yang kini berusia 22 tahun, mengaku bersalah di mahkamah hari ini atas satu pertuduhan merakam video di bahagian bawah skirt seorang wanita.

Kejadian berlaku pada 5 Februari 2021 di NTU.

ARTIKEL BERKAITAN: OMG! Sedang asyik mandi tiba-tiba sedar ada lubang tepi dinding tandas awam lelaki Pantai Morib... “Bayar RM1 jadi tontonan gay boy!”

Mangsa yang ketika itu berusia 20 tahun, telah memasuki tandas kira-kira 15 minit sebelum kelasnya pada pukul 9 pagi.

Zhou, yang sedang berehat dari kuliah tutorialnya, melihat mangsa memasuki tandas dan mengikutnya.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Arvindren berkata, tertuduh mengetahui mangsa berada di satu-satunya kubikel berkunci dan memasuki kubikel bersebelahan.

Zhou kemudian memegang telefonnya di bawah ruang antara kubikel tandas dengan menghalakan kamera belakang ke atas untuk merakam video dari bawah skirt mangsa.

Mangsa separa tidak berpakaian apabila ternampak bayang-bayang dari kubikel tandas bersebelahan.

Mangsa yang terlihat telefon bimbit kemudian menjerit, menyebabkan Zhou berlari keluar dari tandas.

Dia memadamkan video itu serta-merta dan menunggu mangsa di luar tandas, untuk meminta maaf kepadanya.

Mangsa yang trauma bergegas ke kelasnya untuk memaklumkan rakan sekelasnya.

Pensyarah turut diberitahu dan perkara tersebut dimaklumkan kepada pihak keselamatan kampus. Zhou telah ditahan polis pada hari yang sama.

Arvindren berkata, Zhou mengaku kepada polis bahawa dia telah merakam mangsa semasa berada di dalam tandas dan mendakwa melakukan perbuatan itu kerana tertekan dan emosi.

Tertuduh juga mengakui telah melakukan perkara ini beberapa kali sebelum ini.

Pendakwa raya berkata, laporan Institut Kesihatan Mental bertarikh Mei 2022 menunjukkan tertuduh mengalami gejala psikotik awal ketika dia melakukan kesalahan berkenaan, dan ini mungkin menyumbang kepada tingkah laku yang menyinggung perasaan.

Hakim Daerah, John Ng, kemudia meminta laporan untuk menilai kesesuaian Zhou bagi menjalani perintah rawatan mandatori (MTO).

Mereka yang diberi MTO akan menjalani rawatan untuk keadaan mental mereka sebagai ganti hukuman penjara.

Untuk maklumat tambahan, bagi setiap pertuduhan voyeurisme (mengintip), pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, disebat, atau menerima sebarang kombinasi hukuman sedemikian. – THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain