suria

Pekarangan masjid dijadikan pentas catwalk, penganjur ‘fashion show’ mohon maaf

Sekumpulan individu selamba berjalan catwalk di pekarangan Masjid Agung Ciamis.

TIDAK sensitif! Itulah perkataan sesuai berikutan tularnya satu video di media sosial menunjukkan sekumpulan individu selamba menjadikan pekarangan sebuah masjid seperti 'pentas catwalk'.

Menerusi video tular itu, kelihatan sekumpulan lelaki dan wanita berkumpul di halaman Masjid Agung Ciamis, Jawa Barat, Indonesia untuk melakukan pertunjukan fesyen.

Mereka kemudiaannya berjalan sambil memperagakan pakaian dan aksesori masing-masing. Beberapa individu lain pula dilihat turut merakam gambar pertunjukan tersebut.

Difahamkan kejadian tersebut dirakam pada Ahad lalu.

Susulan tularnya video tersebut di Instagram serta TikTok, netizen melontarkan kecaman hebat kerana menyifatkan tindakan berkenaan melanggar norma agama dan kesopanan kerana ia melibatkan tempat ibadat.

Ketua Jurusolek Komuniti Ciamis, yang juga penganjur acara tersebut, Santi Novianti, kemudian tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa pertunjukan fesyen itu dilakukan secara spontan.

"Kami meminta maaf daripada seluruh penduduk Ciamis terutamanya pihak Dewan Kesejahteraan Masjid (DKM) dan para ulama. Tidak ada unsur sengaja (pertunjukan fesyen), semuanya di luar jangkaan kami. Tiada juga niat kami untuk sengaja menjadi tular," katanya.

Pada masa sama, Ketua DKM Masjid Agung Ciamis, KH Wawan S Arifin berkata, pihaknya akan memberikan hukuman kepada penganjur acara itu, iaitu mereka diwajibkan mengikuti pembelajaran di Masjid Agung Ciamis dua minggu sekali, setiap petang Ahad.

Tambah Wawan, kejadian itu berlaku akibat kelalaian pihak penganjur kerana mereka pada awalnya mengadakan acara tersebut di Alun-alun Ciamis, namun, ia secara tiba-tiba turut bergerak ke pekarangan masjid. - Tribunnews

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain