suria

Rakam aksi lucah, tawar wang untuk seks oral dengan remaja lelaki... YouTuber dipenjara 32 minggu

YouTuber itu mula menjalani hukuman pada Jumaat. Fot: ST.

YOUTUBER Darryl Ian Koshy yang melakukan pelbagai kesalahan seksual, termasuk menawarkan wang tunai kepada seorang remaja lelaki berumur di bawah 18 tahun untuk perkhidmatan seksual akhirnya dijatuhkan hukuman penjara selama 32 minggu.

Lebih dikenali sebagai Dee Kosh, lelaki berusia 33 tahun itu mula menjalani hukuman pada Jumaat.

Koshy telah mengaku bersalah pada Mei lalu atas satu pertuduhan menawarkan wang tunai kepada kanak-kanak bawah umur untuk perkhidmatan seksual, dan satu lagi pertuduhan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Remaja untuk percubaan eksploitasi seksual terhadap orang muda.

Dia juga mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Filem kerana merakam dirinya terlibat dalam aksi seks dengan seorang lelaki berusia antara 23 dan 25 tahun pada 2016 atau 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Umpan wang untuk seks oral dengan remaja lelaki, YouTuber terkenal akhirnya terima padah

Empat pertuduhan lain telah diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Pada Rabu, Timbalan Pendakwa Raya Lim Ying Min telah memohon hukuman penjara lima hingga lapan bulan dan berkata kesalahan Koshy adalah terancang kerana dia sengaja dan gigih mencari kanak-kanak bawah umur.

Malah, Koshy telah menggunakan dan memanfaatkan statusnya sebagai penyampai radio dan influencer untuk memancing mangsanya.

Peguam Koshy, Johannes Hadi berhujah agar anak guamnya mendapat hukuman penjara 2 bulan setengah selepas menunjukkan penyesalan dengan prospek rendah untuk mengulangi perbuatan itu.

Atas kesalahan menawarkan wang tunai kepada remaja di bawah 18 tahun sebagai pertukaran untuk perkhidmatan seksual, Koshy boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda.

Bagi percubaan eksploitasi seksual terhadap seorang remaja, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehingga $10,000 (RM32,386), atau kedua-duanya sekali. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain