suria

Acara dalam sauna disyaki jadi punca penularan cacar monyet di Madrid

Kebanyakan daripada 30 kes yang dikesan di Madrid berpunca daripada sebuah sauna di sana. Foto: Getty.

PENULARAN wabak cacar monyet atau monkeypox ternyata menjadi kebimbangan masyarakat global hari ini.

Terbaharu, penularan wabak itu di Madrid, Sepanyol turut dikaitkan dengan satu acara di sebuah pusat sauna.

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah dengan 80,000 pengunjung, pesta gay di Gran Canaria dikaitkan dengan penularan cacar monyet

Menurut seorang pegawai, kebanyakan daripada 30 kes yang dikesan di Madrid berpunca daripada sebuah sauna di sana.

Setakat ini, 20 kes penyakit itu telah ditemui di United Kingdom (UK), diikuti Belgium, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden serta di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Australia.

Di Portugal pula, 14 kes pertama yang dikesan adalah melibatkan golongan gay dan biseksual.

Negara itu mengesahkan sembilan lagi kes baharu pada Jumaat.

Di Belgium, tiga kes juga telah dikaitkan dengan festival Darklands di Antwerp, lapor The Telegraph.

"Ada sebab untuk mengandaikan bahawa virus itu telah dibawa masuk oleh pelawat dari luar negara ke festival itu selepas kes baru-baru ini dikesan di negara lain," kata penganjur menerusi laman web.

Darklands ialah acara bertiket yang dihadiri pelbagai puak dalam komuniti fetish gay yang mana mereka berkumpul untuk mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri.

UK mengesahkan 11 kes baharu cacar monyet pada hari Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan 20 kes.

Di peringkat global, 127 kes telah dilaporkan di 11 negara, menurut John Brownstein, profesor perubatan di Harvard Medical School di AS.

Para saintis Jerman berkata wabak itu adalah yang terbesar pernah dilihat di Eropah dalam keadaan virus itu, yang boleh menyebabkan simptom seperti demam, sakit kepala, sakit otot, nodus limfa bengkak dan menggigil. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain