suria

Pelajar berusia 15 tahun tembak mati tiga rakan, lapan lagi cedera - “Semuanya berlangsung dalam tempoh 5 minit”

Pasukan bantuan kecemasan bergegas ke tempat kejadian yang menyaksikan tiga pelajar terbunuh. Foto: Reuters/Seth Herald

SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun menembak mati tiga rakan sekolahnya dan mencederakan lapan yang lain, menggunakan pistol separa automatik di sebuah sekolah tinggi di Michigan, Amerika Syarikat (AS), pada Rabu.

Salah seorang mangsa yang cedera adalah guru dan selebihnya adalah pelajar di Oxford High School, kira-kira 40 batu (65 kilometer) di utara Detroit, kata pejabat Syerif Daerah Oakland.

Motif tembakan tidak diketahui, kata pegawai.

Bagaimanapun, remaja berkenaan diberkas serta merta selepas insiden tersebut.

Mangsa yang terbunuh merupakan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, dan dua gadis berusia 17 tahun dan 14 tahun, kata Sherif Michael McCabe kepada pemberita di tempat kejadian.

Dua daripada mangsa yang cedera dilaporkan perlu menjalani pembedahan dan enam yang lain dalam keadaan stabil, kata McCabe.

Suspek yang merupakan pelajar tahun kedua di sekolah itu, dipercayai bertindak bersendirian dan tidak melawan ketika ditahan selepas melepaskan 15 hingga 20 das tembakan, kata McCabe.

"Semuanya berlangsung dalam tempoh lima minit," kata McCabe.

Suspek tidak mendedahkan apa-apa kepada polis dan menuntut haknya kepada peguam apabila dinasihatkan supaya tidak bercakap oleh ibu bapanya, kata McCabe.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

"Saya turut bersimpati terhadap keluarga yang menanggung kesedihan yang tidak dapat dibayangkan kerana kehilangan orang tersayang," kata Biden. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain