suria

Angkara pandemik, lelaki ini tiga kali bertukar kerja demi survival hidup

EDI mempelajari kemahiran menjahit kasut daripada seorang rakan yang tinggal di kawasan Pasar Legi di Indonesia. — Agensi

TERKESAN dengan pandemik Covid-19, seorang lelaki dari Kota Blitar, Indonesia terpaksa bertukar-tukar pekerjaan demi survival hidup.

Pada mulanya, bekas pekerja kilang simen di Gresik, Indonesia, Edi Kamari, 57, diberhentikan kerja kerana syarikatnya terpaksa mengecilkan jumlah pekerja untuk kelangsungan syarikat.

Oleh kerana itu, Edi membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman di Kabupaten Binangun, Kabupaten Blitar.

"Pada awalnya saya membuat keputusan untuk menjadi penarik beca di kawasan Makam Bung Karno (MBK).

"Dengan menggunakan simpanan yang ada, saya menggunakan wang berkenaan untuk membeli beca," katanya.

Tambahnya lagi, selepas beberapa bulan menjadi pengayuh beca, Edi merasakan pekerjaan tersebut tidak sesuai untuknya.

Jelasnya, sepanjang di MKN dia berdepan dengan ramai pesaing dan pada masa sama penutupan lokasi pelancongan itu juga merumitkan lagi keadaan.

Oleh kerana itu, Edi dan penarik beca yang lain terpaksa berpindah ke lokasi baru di sekitar Pasar Legi di Kota Blitar.

Kata Edi lagi, dia juga merasakan bahawa badannya sudah tidak kuat untuk melakukan pekerjaan itu.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu kemudian membuat keputusan untuk berhenti menjadi penarik beca dan menukar profesyen sebagai tukang membaiki kasut.

Kongsinya, dia terdetik untuk melakukan pekerjaan itu selepas mempelajari kemahiran menjahit kasut daripada seorang rakan yang tinggal di kawasan Pasar Legi.

"Saya nekad untuk belajar membaiki kasut kerana saya yakin boleh melakukannya.

"Rakan saya juga membekalkan saya dengan peralatan dan keperluan untuk membaiki kasut," katanya yang mula menawarkan perkhidmatan berkenaan sejak tiga bulan lalu.

Jelas Edi lagi, dia bersyukur kerana berkat keikhlasan rakannya yang mengajar dia ilmu membaiki kasut, dia mempunyai pekerjaan yang mampu untuk menyara keluarganya.

Dia kini mampu menjana pendapatan antara Rp. 60 ribu (RM17.62) hingga Rp. 100 ribu (RM29.36) sehari bergantung kepada kesibukan lokasi berkenaan.

Edi yang tinggal bersama saudaranya memberitahu meskipun menjalani hidup yang sukar dia percaya bahawa rezeki ada di mana-mana dan hidup perlu diteruskan. — Agensi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain