suria

Pernah tolak vaksin, nenek akhirnya ubah fikiran kerana mahu mengerjakan umrah

RATNA menerima vaksin jenis Pfizer di Menara Bank Mega, Jakarta Selatan, Indonesia baru-baru ini. — Agensi

SEORANG nenek di Indonesia yang pada mulanya difahamkan menolak untuk divaksin akhirnya mengubah fikirannya kerana mahu mengerjakan umrah dalam masa terdekat.

Dikenali dengan nama Ratna, dia menerima vaksin jenis Pfizer di Menara Bank Mega, Jakarta Selatan, Indonesia baru-baru ini.

Nenek yang berusia 65 tahun itu memberitahu, sebelum ini dia tidak mahu menerima vaksin Covid-19 kerana berasakan bahawa tubuhnya masih belum bersedia.

"Terus terang sebelum ini saya tidak mahu mengambil vaksin kerana saya tidak memerlukannya, malah hampir setiap hari saya bersenam.

"Namun, saya mengubah fikiran selepas dimaklumkan oleh anak bahawa jika mahu mengerjakan umrah saya perlu mengambil vaksin," katanya yang suka berjoging dan menaiki basikal.

Sementara itu, anak Ratna, Fajar memberitahu, dia percaya bahawa vaksin Pfizer telah terbukti selamat untuk warga emas.

Jelasnya lagi, tahap keberkesanan vaksin itu juga tinggi dalam mencegah Covid-19.

"Cuma vaksin Pfizer lebih baik dari segi keberkesanannya, dia tidak perlu lagi menggunakan booster.

"Kamu tidak perlu melakukannya sekali atau dua kali, cukup dos sudah boleh mengerjakan umrah," ujarnya.

Di Indonesia, program pemberian vaksin jenis Pfizer masih berlangsung di Menara Bank Mega yang membekalkan kira-kira 900-1,000 dos setiap hari.

Vaksin Pfizer boleh diberikan kepada kanak-kanak berusia lebih dari 12 tahun dan warga emas.

Ia juga boleh diberikan kepada wanita hamil dan pesakit dengan komorbiditi tertentu. — Agensi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Vaksin, Covid-19, Indonesia, Ratna, nenek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain