suria

Pasangan doktor Muslim hasilkan vaksin Covid-19, dakwa 90 peratus berkesan

Pasangan doktor perubatan muslim dari Turki kini menjadi sebutan apabila mereka berjaya menghasilkan vaksin yang dikatakan mempunyai 90 peratus keberkesanan dalam merawat penyakit itu.

KETIKA dunia masih tercari-cari penawar bagi menyembuhkan jangkitan virus Corona atau Covid-19, pasangan doktor perubatan muslim dari Turki kini menjadi sebutan apabila mereka berjaya menghasilkan vaksin yang dikatakan mempunyai 90 peratus keberkesanan dalam merawat penyakit itu.

Pasangan berkenaan iaitu Dr Ugur Sahin, 55, dan Dr Ozlem Tureci, 53, bakal memberi sinar baharu kepada dunia yang memerlukan vaksin berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Keji! Wanita menyamar sebagai pesakit kanser ovari untuk kutip sumbangan, guna wang derma lebih RM200 ribu untuk berjoli

Mereka yang membentuk pasukan penyelidikan dari syarikat farmaseutikal Pfizer dan BioNTech, mendakwa produk yang dihasilkan itu 90 peratus berkesan dan sudah tersedia untuk digunakan.

Perkembangan itu dianggap satu kejayaan baharu dunia perubatan.

Dilahirkan di Turki dan dibesarkan di Jerman, Ugur tergolong dalam keluarga pendatang yang bekerja di sebuah kilang Ford. Dia bergelar seorang doktor dengan kepakaran dalam bidang imunoterapi.

Isterinya, Ozlem Tureci adalah ahli lembaga pengarah BioNTech, sebuah syarikat milik Ugur. Ozlem adalah anak perempuan seorang doktor Turki yang juga berhijrah ke Jerman.



Dr Ugur Sahin (kiri) dan Dr Ozlem Tureci bakal memberi sinar kepada dunia. - Foto: muslimmirror.com

Ugur dilahirkan di Iskenderun, Turki. Pada usia empat tahun, dia berhijrah ke Jerman bersama ibu bapanya.

Bapanya bekerja di sebuah kilang Ford dan dia pula belajar dalam bidang perubatan di University of Cologne, Jerman.

Dia lulus pada tahun 1990 dan memperoleh Ijazah Doktor Falasafah (Ph.D) tiga tahun kemudian. Ugur menghabiskan lapan tahun berikutnya di Hospital Universiti Saarland.

Dia kemudian menyertai University of Mainz pada tahun 2000.

Setelah menamatkan pengajian selama lapan tahun di Saarland University Hospital, dia bergabung dengan University of Mainz pada tahun 2000 dan dilantik sebagai profesor pada tahun 2008.

Dia mengahwini Ozlem Tureci pada tahun 2002, dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini sudah remaja.



Sehingga kini masih belum ada vaksin ditemui bagi merawat Covid-19.

Seperti dipetik muslimmirror.com pasangan itu begitu berminat dalam melakukan penyelidikan lalu menubuhkan syarikat untuk membangunkan alat imunoterapi kanser.

Yayasan Bill & Melinda Gates melaburkan $55 juta (RM226 juta) dalam syarikat itu.

Mereka seorang yang merendah diri dan menjalani kehidupan yang sederhana walaupun berada di antara 100 orang terkaya di Jerman.

Ugur pula masih menunggang basikal lamanya.

Sumbangan mereka terhadap vaksin Covid-19 adalah peristiwa luar biasa dalam sejarah dunia, memberikan harapan kepada jutaan orang yang menderita wabak tersebut.

Terdapat 51 juta Kes coronavirus dengan jumlah kematian 1.3 juta dan kes-kes kematian sentiasa meningkat.

Dengan terhasilnya vaksin ini, ia bakal memberi sinar baharu kepada pengidap virus berkenaan dan seterusnya dapat memulihkan ekonomi sesebuah negara.

Ketika ini banyak negara mendakwa mereka memiliki vaksin yang boleh mencegah penyakit berkenaan namun keberkesanannya belum dapat disahkan sepenuhnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain