PM Korea Selatan arah siasatan menyeluruh susulan 32 individu maut selepas disuntik vaksin influenza

Orang awam mendapatkan suntikan vaksin influenza di sebuah hospital di Seoul. Foto: Reuters

PERDANA Menteri Korea Selatan Chung Sye-kyun mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan susulan kematian 32 individu selepas menerima suntikan vaksin influenza, lapor Agensi Berita Yonhap.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," kata Chung ketika mesyuarat di ibu pejabat Pusat Keselamatan dan Pencegahan Bencana, pada Jumaat.

Jumlah korban itu dicatatkan sehingga tengah malam Khamis.

Bagaimanapun pihak berkuasa kesihatan setakat ini tidak menemui sebarang kaitan antara vaksin dengan kematian berkenaan.

"Pihak berkuasa perlu menyiasat secara terperinci mengenai kaitan vaksin dengan kematian dan membuat pengumuman terbuka berhubung perkembangan siasatan itu," kata Chung lagi.

Beliau berkata masyarakat masih takut walaupun pakar menafikan kes kematian itu mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin influenza.

"Saya meminta Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea berunding dengan pakar dan melakukan yang terbaik untuk mengambil langkah-langkah proaktif dan segera menjelaskan mengenai keadaan itu supaya rakyat tidak takut dapatkan suntikan vaksin," tambahnya.

Pada Khamis, kerajaan mengesahkan program imunisasi tetap akan dilaksanakan.

Korea Selatan menggesa rakyatnya termasuk remaja dan warga emas mendapatkan suntikan bagi mencegah dijangkiti demam selesema selain bertujuan mengekang kemungkinan munculnya 'pandemik berkembar'.

Ketakutan mengenai vaksin influenza mula tercetus pada Jumaat lalu apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di bandar pelabuhan barat Incheon meninggal dunia, dua hari selepas menerima suntikan berkenaan.

Kejadian serupa juga dilaporkan, kebanyakannya membabitkan warga emas. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain