suria

Bekas juara Muay Thai, pernah jadi bodyguard di Macau maut selepas digigit lipan

Dokmaipa Por Pongsawang (kiri) maut dipercayai akibat digigit lipan. -fotoCoconuts

SEORANG bekas juara Muay Thai yang terkenal dengan tumbukan dan tendangan kiri yang padu maut pada Rabu akibat komplikasi gigitan haiwan, dipercayai lipan.

Dokmaipa Por Pongsawang, 52, meninggal di Hospital Kalasin, Thailand kerana jangkitan darah yang teruk, menurut pengarah hospital, Pramuan Thaingamsilp, beberapa hari selepas anak perempuannya memberitahu bahawa bapanya digigit lipan atau dikenali sebagai 'takhap'.

Anak perempuan Dokmaipa, Jiraporn Moonkaset memberitahu wartawan bahawa bapanya digigit di bahagian kaki kiri. Dia tidak mendapatkan rawatan sehinggalah dirinya menggigil kesakitan dan pening sebelum koma.

Pramuan berkata Dokmaipa menghidap diabetes, menyebabkan lebih banyak komplikasi berlaku dan menyumbang kepada kematiannya.



Terkenal dengan tendangan dan tumbukan kencang di bahagian kiri. -fotoCoconuts



Dilahirkan dalam keluarga Muay Thai di wilayah Roi Et, Dokmaipa menjadi petinju ketika berusia sembilan tahun.

Kekuatan luar biasa di bahagian kiri membolehkan dia memenangi enam perlawanan di stadium tinju Lumpini dan Ratchadamnoen.

Dia bersara pada tahun 1996 dan menjadi jurulatih, sebelum menjadi pengawal peribadi (bodyguard) di Macau.

Dia kembali ke Thailand beberapa tahun lalu dan bekerja sebagai pekerja perbandaran di tempat tinggalnya, Kalasin. -Coconuts

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain