suria

Arab Saudi akan pilih negara mana dibenar hantar jemaah umrah

umrah

MENTERI Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh Benten mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan akan membuat keputusan mengenai negara-negara yang dibenarkan untuk menghantar jemaah mereka bagi menunaikan umrah.

Pengumuman menteri itu susulan kenyataan Kementerian Dalam Negeri sebelum ini, yang menyatakan bahawa kerajaan Arab Saudi akan membenarkan jemaah asing untuk memasuki negara itu pada fasa ketiga penyambungan semula ibadat Umrah, berkuat kuasa 1 November.

Dalam satu wawancara bersama saluran TV Al-Ekhbariya, Benten berjata, terdapat laluan elektronik khas untuk kedatangan dan keberangkatan jemaah haji asing untuk menunaikan haji tahun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh bulan ditangguh kerana Covid-19, Arab Saudi benarkan semula ibadat umrah mulai 4 Oktober

Merujuk kepada penyambungan semula perkhidmatan umrah untuk jemaah domestik yang berkuat kuasa mulai 4 Oktober, menteri itu berkata, hanya 12 kumpulan jemaah yang akan dibenarkan menunaikan umrah dalam tempoh 24 jam pada fasa pertama.

"Jemaah akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan ditemani oleh seorang profesional kesihatan di Masjidil Haram.

"Hanya jemaah berusia antara 18 hingga 65 tahun yang akan dibenarkan pada fasa pertama," katanya.

Benten berkata, tiada bayaran untuk pengeluaran permit umrah.

"Tidak ada jemaah umrah yang akan dibenarkan memasuki Masjidil Haram di Mekah tanpa melengkapkan prosedur masuk melalui aplikasi mudah alih I'tamarana.

"Ini untuk memastikan kesihatan dan keselamatan jemaah," katanya, sambil menambah bahawa pengaturan alternatif akan dilakukan sekiranya berlaku masalah teknikal untuk melengkapkan prosedur melalui aplikasi.

Selepas tujuh bulan menangguhkan umrah berikutan pandemik Covid-19, kerajaan Arab Saudi membenarkan semula ibadat tersebut untuk sepanjang tahun secara berperingkat mulai 4 Oktober ini. - Saudi Gazette

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain